Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, December 21, 2011

'GMUKM bersedia menang lagi' - Pengerusi GMUKM


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera serta salam perpaduan buat seluruh mahasiswa UKM .

GMUKM ucap selamat menghadapi peperiksaan akhir

Menjelang Minggu Ulangkaji (Study Week) pada minggu hadapan, dan diikuti Minggu peperiksaan bermula pada 2 - 20 Januari 2012 nanti, kami di GABUNGAN MAHASISWA UKM (GMUKM) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat belajar dan selamat menempuhi peperiksaan Semester 1 sesi 2011-2012.

GMUKM menyeru rakan-rakan supaya berusaha bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin dalam menghadapi peperiksan akhir semester ini

Kami di Gabungan Mahasiswa sentiasa optimis dan mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan mahasiswa sekalian.

Mahasiswa UKM dinasihatkan berhati-hati
Dalam pada itu kami turut menasihati kepada seluruh mahasiswa dan warga kampus agar berhati-hati sepanjang musim peperiksaan ini.

Insiden kehilangan dan kecurian barangan peribadi yang direkodkan pada musim-musim peperiksaan sebelum ini nyata amat dikesali.

Peringatan keselamatan ini turut merangkumi isu keselamatan rakan-rakan semasa berada di jalan raya. Ini memandangkan statistik kemalangan yang dicatatkan sepanjang musim peperiksaan terdahulu didapati meningkat dan jelas membimbangkan semua pihak khususnya warga UKM.

Di peringkat GMUKM dan Biro Kebajikan & Aduan PMUKM sesi kali ini sudahpun melakukan kerjasama dengan Pihak Keselamatan UKM untuk membendung isu-isu tersebut, namun usaha ini sewajarnya turut diambilberat oleh rakan-rakan.

Pentadbiran MPP GMUKM dapat pujian

Rakan-rakan mahasiswa sekalian,

Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang dikepalai LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi, FEP/4 pada sesi kali ini nyata amat disanjungi.

Biarpun pada awal pentadbiran kami dilihat agak sukar mendapat tempat di hati mahasiswa, namun pada hari ini PMUKM jelas berjaya memberikan perkhidmatan (service) dan persembahan (performance) yang lebih baik berbanding kepimpinan Aspirasi selama ini.

Berpaksikan Keilmuan, Kebajikan dan penghayatan Falsafah UKM, PMUKM sesi 2010-2011 telah berjaya menjelmakan dasar-dasar yang digariskan Gabungan Mahasiswa UKM sebelum ini kepada teras-teras yang praktikal dan bermakna buat mahasiswa. Berteraskan Kepimpinan, Kebajikan, Keadilan Sosial dan Keintelektualan , PMUKM sesi kali ini dilihat lebih berjaya membina masyarakat kampus UKM yang lebih matang dan berilmu.

Program demi program sama ada berbentuk formal atau tidak; dan dengan kesantunan PMUKM sesi kali ini mendepani isu-isu mahasiswa di peringkat kampus mahupun nasional nyata berjaya membuktikan Gabungan Mahasiswa UKM selaku badan mahasiswa yang lebih matang dan profesional dari sudut urus tadbirnya (good governance) berbanding yang lain. Ini juga jelas mengotakan apa yang selalu dilaungkan bahawa 'Ber-GM Lebih Baik!'

GMUKM bersedia menang lagi
Maka dengan ini saya selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) sesi kali ini mengisytiharkan bahawa Gabungan Mahasiswa sudah bersedia untuk memenangi Pemilihan MPP / pilihanraya kampus (PRK) sekali lagi, sekaligus mentadbir PMUKM pada  sesi seterusnya demi kelangsungan perjuangan kita membina masyarakat kampus UKM yang berintelektual dan mendokong Falsafah UKM.

Buat para pendokong dan penyokong Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), ayuh kita bersama-sama terus bergandingan bahu dan tangan, mendakap misi agenda perubahan sepertimana yang dilaungkan oleh kita selama ini. Satu penggal pentadbiran MPP GMUKM masih belum cukup untuk kita lihat perubahan sepenuhnya, justeru dengan itu adalah tugas kita untuk menjayakan visi dan misi perjuangan kita dengan bersama-sama bekerja memenangkan calon-calon GMUKM dalam PRK seterusnya.

Perjuangan kita dalam jangka masa panjang juga bakal bermakna apabila Falsafah UKM yang menjadi dasar perjuangan GMUKM  berjaya kita sematkan di dalam hati sanubari setiap warga kampus UKM.

Maka ayuh kita kotakan tema PMUKM 'Bersama Mahasiswa Merealiasi Varsiti' dengan komitmen tanpa lelah daripada kita semua.

Semoga perjuangan kita hari ini dengan izin-Nya akan berjaya memperjuangkan nasib rakan-rakan dan generasi mahasiswa seterusnya di bumi perbukitan ilmu, UKM tercinta ini.


Ber-GM Lebih Baik!


AHMAD FIRDAUS BIN AHMAD AZAM
Pengerusi Gabungan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi 2011-2012

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !