Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Thursday, December 22, 2011

Siapakah boleh dipercayai dalam politik?

DALAM kerancakan menghampiri penghujung tahun, politik terus mewarnai dunia tanah air. Maklumat demi maklumat disebar untuk mendekati umum agar dapat mempengaruhi emosi, hati dan minda.

Bagi yang taksub dengan politik kepartian, sebarang maklumat tidak akan menjejaskan interaksi dengan parti masing-masing tetapi informasi yang disalurkan walaupun rekaan, boleh mempengaruhi persepsi yang tidak menyokong mana-mana parti.

Politik adalah permainan minda. Maka, bagi sesetengah pihak pembunuhan karakter dan melakar satu imaginasi ke atas kepimpinan dianggap wajar sebagai nilai tambah kepada pemasaran politik. Thomas Jackson ada menyatakan bahawa 'always mystify, mislead and surprise the enemy if possible'. Manipulasi ke atas maklumat akan membolehkan lahirnya kekeliruan atau mewujudkan ruang persoalan baru ke atas sesuatu isu.


Dalam konteks politik hari ini, persaingan untuk melakukan pendedahan, menonjolkan maklumat salah laku atau informasi dalaman berlaku dengan hebat.

Barangkali teknologi canggih hari ini dengan smartphone, telefon bimbit yang mempunyai kamera memudahkan proses itu berbanding sebelum ini memikul kamera atau kamera video mahupun surat layang.

Malangnya, ada yang masih tidak tahu 'ruang peribadi' dan 'ruang awam'. Wajarkah seorang yang dijemput sebagai tetamu ke sesuatu majlis keramaian menaik muat gambar yang barangkali bagi tuan rumah bersifat 'peribadi' ataupun perbualan yang dibuat atas kapasiti peribadi.

Barangkali dalam proses perubahan persekitaran yang berlaku dengan drastik, tiada lagi istilah 'ruang peribadi'. Segalanya menjadi 'ruang awam' jika ia membuka ruang populariti dan membawa lonjakan ke atas diri seseorang jika mengaibkan mereka yang mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Pada masa sama, politik juga sudah tidak mempunyai ruang nostalgia peribadi walau dalam kalangan lingkaran yang akrab dengan seseorang pemimpin. Ada pemimpin hilang jawatan, pangkat dan kedudukan bukan kerana musuh di luar tetapi angkara rakan akrab sendiri.

Maka, muncul dilema, siapakah yang 'boleh dipercayai' dalam dunia sepak terajang politik. Ia bersesuaian dengan kenyataan bahawa dalam politik, tidak ada rakan atau musuh yang kekal tetapi hanya kepentingan. Maka, disebabkan oleh kepentingan tertentu, rakan boleh jadi musuh; dan lawan boleh menjadi rakan. Ini tidak mustahil.

Dalam konteks politik tempatan, setiap hari kita tertunggu-tunggu pendedahan berikutnya. Dari isu lembu, kondo, pinjaman Bank Dunia, pertembungan Karpal-Ramasamy, pertikaman lidah Hassan Ali, Nasharuddin, Mustafa Ali dan Mahfuz Omar, penurunan bendera Najib; isu Menteri Besar dilabel sebagai 'Hitam Metalik'; rasuah, perdebatan Khairy-Rafizi, penggunaan dakwat kekal di PRU, isu negara Islam, MAS dan Tony Frenandez, Aziz Bari, AUKU, Ambiga, Lynas, SPGA, Interlok, PPSMI, pengundi Melayu dan bukan Melayu, siapa kahwin siapa; macam-macam lagi termasuk tarikh PRU dan calon serta lelaki kahwin lelaki.

Ada yang bersifat sandiwara untuk mengalih dari sesuatu isu. Ada pula menganggap bahawa mereka adalah 'dewa politik' dan menjadi kewajipan pengikut untuk mempertahankan mereka dalam apa jua suasana.

Dalam politik permainan minda, ia bukan sama ada ke semua isu di atas ada benarnya tetapi jika sekiranya boleh menghasilkan kepercayaan, ia sudah dianggap berjaya dalam permainan ini kerana akhirnya nada emosi dan marah atau kecewa boleh lahir dari isu-isu yang dianggap kritikan berlebihan ataupun memalukan kerana pemimpin sepatutnya menjadi contoh dan bukan membiarkan pengikut melabel mereka dengan pelbagai nama, untuk mereka ataupun lawan.

Politik permainan minda memerlukan motivasi dan keazaman tinggi; bukannya bersifat berat sebelah dan defensif. Godfather dan warlords politik perlu ada kekuatan rohaniah, mental insaniah dan fizikal kerana politik baru bukan berakarkan kepada kesetiaan dan berterima kasih walaupun masing-masing berebut memberi imbuhan; ada kalanya akal dan budi melakari strategi untuk kehadapan dalam persaingan untuk kekal relevan.

Bagi pemerintah, kesediaan memenuhi tuntutan pelbagai pihak baik yang bersifat institusi rasmi mahupun tidak dianggap 'transformasi' tetapi bagi pembangkang, ia akan dianggap kejayaan membawa 'perubahan'.

Adakalanya, keputusan berisiko tinggi perlu diambil dengan tegas kerana ramai 'silent majority' mahu melihat ia berlaku seiring dengan perubahan iklim demokrasi terpimpin dan kadar celik huruf negara ini supaya rakyat tahu siapa bercakap benar dan siapa berbohong.

Siapa jeneral yang boleh menjadi penggerak kepada politik permainan minda ini kerana dalam perang sebenar, arahan seorang jeneral membolehkan kemenangan diperolehi dengan bergaya tetapi kehadiran jeneral melebihi hulubalang boleh memusnahkan satu empayar.

Soalnya, politik permainan minda juga memerlukan tanggungjawab dari majoriti jika sekiranya percaya pada kedayaupayaan untuk adaptasi kepada perubahan persekitaran yang memerlukan semangat juang yang kental dengan kesungguhan yang bersifat 'biasa' kepada 'luar biasa'. Hatta, politik permainan minda tanggungjawab siapa?

* Penulis, Pof Madya Dr. SIVAMURUGAN PANDIAN merupakan Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM. Beliau juga merupakan salah seorang Anggota Jawatankuasa Pindaan AUKU yang diumumkan pertengahan bulan ini. 

Baca bersama capaian berikut; Siapa harus rakyat percayai?

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !