Mungkin sememangnya telah menjadi hukum alam, jiwa anak muda di mana-mana tempat di dunia bersifat memberontak. Melawan untuk mencari yang terbaik. Melawan, walau ditekan.
Sudah semestinya golongan yang mengetuai gerakan anak muda dan mengungguli perjuangan ini ialah mahasiswa. Ya, Malaysia mempunyai corak rantaian perjuangan yang dipelopori mahasiswa dalam versi dan caranya yang tersendiri. Itulah keunikan. Kita semua tahu, ini perjuangan halal. Ini perjuangan bermatlamat. Ini perjuangan bersendi visi dan misi. Itu adalah fakta yang takkan dapat dinafikan lagi.
Namun masih ada suara-suara sumbang, atau lebih tepat saya katakan “suara-suara bimbang” yang terus meremehkan gerakan ini. Mahasiswa disuap dengan momokan akta-akta draconian. Tidak kurang, ditekan dan dihalang dengan variasi metodologi zalim dan menindas. Mahasiswa diingat untuk jangan ‘memandai-mandai’.
Tidak kurang yang menyuruh mereka ‘pergi belajar dahulu’ kerana mahasiswa hanyalah “budak-budak” yang baru hendak mengenal dunia. Satu persoalan pasti akan berlari dalam fikrah mereka yang rasional – apa semua ini?Negara yang kaya dengan mahasiswa prihatin dan berjiwa besar, ikhlas memperjuangkan ideologi yang mereka yakin mampu memberi nafas baru kepada negara dihalang dan dikekang sekeras-kerasnya seakan mereka semua ini penjenayah paling berbahaya atas muka bumi !
Satu lagi persoalan yang ingin diutarakan, apakah signifikan kepada kekangan-kekangan ini? Apa yang mereka hendak takutkan dengan kuasa mahasiswa, jika benar mahasiswa sekadar budak-budak yang baru mengenal dunia? Bukankah pada persepsi mereka mahasiswa hanyalah pejuang picisan yang tidak penting? Maka mengapa perlu gerakan ini dicantas mati, diracun hingga lumpuh terhenti?
Jawapannya mudah. Gerakan ini dikekang semahunya kerana mahasiswa dengan ampuh kuasanya, mampu menjatuhkan kekuasaan dan kezaliman ke dalam gaung paling dalam. Mahasiswa dengan garang ngauman jiwanya, mampu meruntuhkan egoism dan menghumban sesiapa sahaja yang menjadi batu penghalang kepada matlamat mereka ke dalam lautan sejarah.
Mahasiswa dengan nyalaan api semangat yang marak, mampu melakar potret dunia dengan lakaran yang lebih indah, apabila lahirnya revolusioner dan reformis dinamik.
Revolusioner dan reformis yang akan menakhodai bahtera Malaysia memecah gelombang cabaran dunia baru seikhlasnya demi rakyat semata-mata.
Itulah sebabnya mereka menghalang kebangkitan mahasiswa, kebangkitan anak muda. Jika semua yang dinyatakan di atas menjadi realiti di Malaysia, maka pengkhianat-pengkhianat ini tidak berkesempatan lagi memperbodoh rakyat bumi bertuah ini. Kuasa mereka akan dibogelkan, kedudukan mereka akan ditelanjangkan.
Segala kebobrokan yang mereka dokong akan terhenti. Kerana itulah saya sebutkan di awal tadi, yang berusaha melumpuhkan rantaian gerakan mahasiswa ialah “suara-suara bimbang”.
Ya, kerana mereka bimbang kehilangan kuasa yang selama ini mengenyangkan temolok mereka !
Ayuh mahasiswa kita turun ke medan. Kita turun bukan untuk membangkang atau menggulingkan penguasa yang sah, tetapi kita turun sebagai kuasa ketiga yang memberikan alternatif. Kita menyokong dengan prinsip, kita mengkritik untuk menegur. Kita wajar menzahirkan pandangan, kerana mahasiswa ialah ikon pemilik minda gred A yang dimiliki negara. Jangan kita tolak peluang untuk jadi sebahagian daripada lipatan sejarah kebangkitan.
Ayuh kita canangkan idea kebebasan. Mari kita hapuskan hantu penindasan yang selama ini memperkosa minda kita.
Kita berikan semula nyawa kepada gerakan mahasiswa. Kita laungkan slogan mahasiswa. Kita kejutkan lena masyarakat dengan jeritan suara dan idea kita. Student Power ! Itulah slogan yang tak akan pernah sepi hingga menjelangnya hari kiamat. –GZDaily
Short URL: http://gazebodaily.net/?p=2315
0 comments:
Post a Comment