Kuala Lumpur, 22 Nov : Gabungan beberapa gerakan mahasiswa hari ini melancarkan ‘Gerakan menuntut kebebasan akademik’ atau BEBAS dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.
Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) di pejabat suruhanjaya itu di ibu negara pagi tadi.
Turut serta dalam BEBAS adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).
BEBAS perjuang ahli akademik dan kebebasan
Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang Talib yang juga Presiden PMIUM berkata, terdapat dua prinsip asas yang diperjuangkan Bebas.
Pertama katanya, adalah bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.
“Kedua, institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib,” katanya.
Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.
Ianya termasuk memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik, membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik. – GZDaily
0 comments:
Post a Comment