Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, November 26, 2011

Cuaca dijangka tidak menentu sehingga minggu hadapan

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan perairan negara dijangka mengalami keadaan angin kencang dan laut bergelora yang berterusan sehingga Selasa depan.

http://www.met.gov.my/
 Amaran angin kencang Timur Laut telah dikeluarkan dengan kelajuan 60 km/j dan ombak melebihi 5.5m dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North dan Layang-Layang.

Manakala amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60 km/j dan ombak mencapai 4.5m pula diramalkan melanda kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Phuket, Tioman dan Bunguran.

Amaran kepada penduduk berhampiran
Justeru pihak Jabatan mengeluarkan amaran keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti pantai, perkhidmatan feri, perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Pakar Oseanografi, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula menjangkakan beberapa negeri di pantai timur Semenanjung dijangka akan terus mengalami banjir besar ekoran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada 25 Disember dan 23 Januari tahun depan.

Antara kawasan yang dijangka mengalami fenomena alam ini adalah kawasan pantai timur dan Sarawak yang didorong faktor tiupan angin Monsun Timur Laut yang dikaitkan dengan musim tengkujuh.

Faktor air pasang besar
"Fenomena air pasang besar ini berlaku disebabkan oleh tarikan graviti bulan dan bumi.

"Jika sesebuah kawasan atau negeri menerima hujan yang luar biasa dan pada masa yang sama fenomena air pasang berlaku, banjir besar akan melanda," katanya.

Prof. Dr. Kamaruzaman yang juga Dekan Fakulti Sains Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Kuantan memberitahu, banjir tersebut dijangka lambat surut ekoran paras air laut yang tinggi.

Situasi kini seluruh negara
Antara kawasan yang sedang dan dijangka bakal mengalami air pasang banjir bagi negeri Terengganu adalah di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman sementara bagi negeri Pahang di daerah Kuantan dan Pekan.

Di negeri Kelantan pula, banjir sedang atau dijangka bakal berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Selain itu, di utara tanah air, ramalan bagi negeri Perlis menjangkakan banjir bakal atau sedang berlaku di daerah Padang Besar, Kangar dan Arau sementara di Kedah di Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Awasi ahli keluarga & barang berharga
Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) kita mengucapkan takziah kepada mangsa banjir pada kali ini. Juga dinasihatkan kepada ketua-ketua keluarga agar mengawasi ahli-ahli keluarga terutama anak-anak kecil agar tidak bermain dalam air disebabkan cuaca yang tidak menentu.

Juga awasi barang-barang berharga milik anda. Sewajarnya barang-barang berharga dan penting seperti sijil-sijil kelahiran dan buku-buku bank disimpan di tempat yang kurang risiko banjir.

Maklumat terkini berkenaan amaran-amaran banjir atau maklumat berkenaan keadaan kampung halaman anda, boleh dilayari di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia di capaian berikut.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !