Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) diminta campur tangan dalam urus tadbir politik kampus khususnya dalam pilihanraya kampus (PRK), gesa Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS).
Pengerusinya, Muhammad Safwan Anang@Taib (gambar) berkata, Suhakam diminta terus mendesak dan memberi nasihat kepada pihak kerajaan supaya menghormati hak asasi dan kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambah beliau, sudah banyak kes hak asasi dinafikan apabila jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti dilihat 'mencaturkan' proses pilihanraya kampus, termasuk campur tangan kempen, pembuangan undi, pencalonan dan urusan teknikal.
Katanya, tindakan itu bertujuan supaya pemimpin yang dilantik ‘ikut telunjuk’ HEP dan menguburkan suara mahasiswa yang lantang dan memperjuangkan isu kebebasan mahasiswa.
“Untuk itu, BEBAS mahu Suhakam menjelaskan kepada kerajaan hak asasi kami ketika memilih pemimpin. Kami mahu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diurus sendiri oleh penuntut bukan ditentukan pihak pentadbiran.
“Apa yang berlaku, pemimpin di universiti begitu lesu dan apatah lagi berdiskusi untuk berbincang tentang politik dan negara, ekonomi serta sosial,” katanya ketika menyerahkan memorandum Hidup Tanpa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) minggu lalu.
BEBAS disokong 10 badan mahasiswa; bawa suara tulen mahasiswa
Untuk rekod, sehingga kini BEBAS telah disokong oleh 10 buah badan mahasiswa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Pro-Mahasiswa Nasional.
Tambah Muhammad Safwan, tidak semua persatuan universiti menyokong deklarasi Majlis Perundingan Pelajar Malaysia (MPPK) yang menyokong AUKU di hadapan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“BEBAS bukan sahaja mendesak supaya akta itu dipinda, malah terus mansuh kerana mengekang kebebasan akademik di dalam atau luar kuliah.
“Kami hairan, (bagaimana) AUKU dikenakan kepada mereka tidak sependapat dengan kerajaan sedangkan wakil parti pemerintah (boleh) meluaskan pengaruh di universiti tanpa (dikenakan) sebarang tindakan.
“Malah, kami dianaktirikan apabila (sesetengah) majlis tertentu sahaja diluluskan oleh HEP, (berbeza) jauh sekali diberi kebebasan berdiskusi, menganjur seminar dan mengadakan himpunan aman” katanya.
Menurut sumber, BEBAS akan melawat setiap kampus dan mengadakan forum terbuka (esok) selain perhimpunan aman 17 Disember nanti.
Forum 'Kebebasan Ilmuan Berakademik dan Pulangkan Autonomi Mahasiswa'
Dalam pada itu, satu forum bertajuk “Kebebasan Ilmuan Berakademik dan Pulangkan Autonomi Mahasiswa” bakal diadakan pada 28 November 2011 (Isnin) bertempat di KL-Selangor Chinese Assambly Hall (KLSCAH) pukul 8 malam.
Forum yang dianjur bertujuan untuk menggerakkan kembali autonomi dan kebebasan warga pendidik serta mahasiswa itu akan dikupas empat ahli panel berlainan latar belakang dan entiti.
Antara ahli panel yang dijadualkan adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah , Hishamuddin Rais, Rafizi Ramli serta Fahmi Reza bakal duduk semeja membicarakan isu kebebasan suara ahli akademik dan kuasa autonomi mahasiswa.
0 comments:
Post a Comment