Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, November 12, 2011

Harian Metro : Graduan 'ulat buku' tak ke mana

Mahasiswa di menara gading bukan saja perlu mempunyai kecemerlangan akademik malah kualiti modal insan.
JIKA dulu menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik bermakna masa depan cerah, kini semuanya berubah, malah bukan lagi jaminan mendapat pekerjaan.

Segulung ijazah bukan lagi ciri tarikan utama majikan dan pasaran kerjaya memilih graduan sebaliknya gabungan kemahiran insaniah lebih diutamakan industri.

Ini memberi 'amaran' kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) lebih bersedia mengimbangi tuntutan kecemerlangan akademik dan kepentingan kokurikulum.

Bagaimanapun, ada mahasiswa bersikap skeptikal dan menganggap jaminan kecemerlangan akademik masih menjadi tiket utama meraih pekerjaan.

Persoalannya, mengapa masih ada tidak mahu membuka minda dan menyalahkan semua pihak lain jika menganggur melainkan diri sendiri? 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tiba masanya mahasiswa menukar minda bahawa kecemerlangan akademik dan penganugerahan ijazah bukan asas kecemerlangan, sebaliknya perlu meningkatkan nilai kemahiran serta modal insan.

Beliau berkata, universiti atau mahasiswa perlu bersiap sedia menghadapi fenomena perubahan kebolehan pasaran yang semakin ditekankan majikan.

"Mahasiswa hari ini bukan saja memerlukan ilmu, tetapi kemahiran bagi memenuhi permintaan kebolehan pasaran yang sudah menjangkau tahap global.

"Justeru, tiba masanya universiti menjadi institusi bukan saja berpengaruh kepada masyarakat, malah mampu menukar minda warganya mengeluarkan graduan yang memenuhi permintaan negara.

"Gandingan universiti dan akademik perlu diseimbangkan dan bukan semata-mata melahirkan graduan ulat buku, tetapi tidak tahu hidup bermasyarakat atau kurang nilai di pasaran ekonomi," katanya.

Beliau berkata, sama ada institusi awam atau swasta perlu berganding dan bekerjasama bagi menjayakan matlamat pembangunan negara. "Gabungan ini merangkumi ilmu, kemahiran dan modal insan. Semuanya perlu dikuasai supaya mampu menjadi pelaburan pendidikan dan negara.

"Konteks pembelajaran hari ini juga bukan lagi statik sebaliknya merangkumi semua aspek seperti elektronik pembelajaran, pengajaran dan kemahiran modal insan," katanya.

Menjelang 2012, sektor pendidikan tinggi negara bakal memasuki fasa kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang menggariskan tujuh teras utama merangkumi empat fasa iaitu Peletakan Asas (2007-2010), Peningkatan dan Pemerkasaan (2011- 2015), Kecemerlangan (2016) dan Kegemilangan dan Kelestarian ( melangkaui 2020).

Pelan Tindakan ini memberi tumpuan pada pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan rakyat kreatif dan inovatif, beretika dan bermoral tinggi, mudah diubah suai dan berfikiran kritis.

Tiga kelemahan nyata mahasiswa di institusi pengajian tinggi ialah kemahiran komunikasi yang lemah, sikap tidak pandai membawa diri di kalangan masyarakat serta pemikiran kurang kritikal.

Katanya, kelemahan ini perlu diatasi segera bagi memastikan graduan yang dikeluarkan mempunyai nilai idea baru, tidak terkongkong dan luhur dalam pencarian ilmu serta dapat membantu masyarakat dalam penjanaan negara pada masa depan.

"Mahasiswa adalah aset terpenting universiti dan negara selain menjadi penentu kejayaan. Kepentingan itu tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan kerjaya semata-mata namun turut menyumbang kekuatan modal insan atau bakat.

"Ia bertujuan melestarikan pembangunan negara pada masa depan yang tidak boleh hanya bergantung ada hasil bumi semata-mata, tapi kekuatan masyarakatnya.

"Kelemahan sedia ada perlu dicari penyelesaiannya supaya mereka menjadi generasi baru lebih mantap, berkualiti, berdaya saing serta jati diri kukuh," katanya.

Sumber : Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !