Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, July 30, 2010

2S - Pemeriksaan Motor Percuma!



Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia terus cakna dengan isu keselamatan para mahasiswa UKM. Terkini, program pemeriksaan motorsikal secara percuma telah diadakan tempat letak motorsikal Fakulti Pengajian Islam berhampiran bulatan utama UKM.

Program yang bermula dari pukul 5.30 petang ini mendapat sambutan yang hangat daripada mahasiswa-mahasiswa yang ingin pulang ke kampung untuk bercuti hujung minggu. Dua orang mekanik telah dijemput khas untuk melakukan pemeriksaan secara percuma yang julung-julung kalinya diadakan.

 












Untuk rekod, program pemeriksaan motor ini merupakan program terakhir bagi Kempen Selamat & Sihat anjuran Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang diadakan sempena Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM 2010. Program yang bertemakan 'Ber-GM Selamat & Sihat' sepanjang minggu ini nyata berjaya menarik ramai mahasiswa untuk lebih mengutamakan keselamatan & kesihatan dalam konteks para mahasiswa UKM.




Mekanik-mekanik yang dijemput khas 
 

Ber-GM Selamat & Sihat !

Jangan biarkan mahasiswa 'mandul'

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyambut baik saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin bin Abdullah supaya mahasiswa di negara ini dibenarkan turut berpolitik. Cadangan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut walaupun dilihat sedikit kontroversi dan bersifat populis, tetapi GMUKM optimis dan selari dengan pandangan dan hujah-hujah Dato' Timbalan Menteri.
 
Cadangan ini dilihat sealiaran dengan tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan yang baru-baru ini membenarkan guru-guru dari gred DG41 hingga DG 48 untuk berpolitik.

"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," ujar Dato' Saifuddin.

Untuk makluman sebelum ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik. Dato' Saifuddin dalam pada itu, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.

Dalam pada itu, Presiden KAMI saudara Hilman Idham berpandangan positif dengan saranan tersebut.

"Di peringkat mahasiswa sebenarnya kita sudah lama menanti-nantikan cadangan yang bernas ini. Sebagaimana kata-kata Presiden Sukarno,'berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia..' Ini jelas membuktikan peranan yang sangat-sangat bermakna dan bererti daripada para pemuda khususnya mahasiswa yang segar dengan idealisme mereka. Saya juga mengharapkan saranan ini diteliti dengan baik-baik di peringkat jemaah menteri"

Saudara Ahmad Firdaus Azam yang juga Pengerusi MAMPU ketika dihubungi Wartawan GMUKM turut melahirkan penghargaan di atas perhatian dan pertimbangan Dato' Saifuddin. Dato' Saifuddin, ujar Ahmad Firdaus lagi dilihat mampu menjiwai keinginan dan kemahuan para mahasiswa kontemporari.
" Tapi di peringkat kepimpinan MAMPU, kita lebih melihat kepada pelaksanaan daripada sekadar angan-angan. Namun kita juga tidak meletakkan harapan yang menggunung kepada Dato' Saifuddin kerana kami sedar karenah-karenah birokrasi yang bakal menimpa kami di peringkat dalaman universiti. Maka kami menyeru supaya semua pihak samada di peringkat menteri atau Majlis Universiti supaya duduk bersama, berbincang demi kemaslahatan mahasiswa semua,"

" Politik jangan dilihat dalam skop yang kecil. Pengurusan pentadbiran sesuatu organisasi juga perlu dilihat dari skop politik. Malah, turun-naik pencapaian sesebuah organisasi juga perlu dilihat dari skop politik. Politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan seharian kita; khususnya dalam skop mahasiswa hari ini."  tambah Ahmad Firdaus.

GMUKM melihat isu ini perlu ditangani dengan pihak-pihak berkenaan duduk bersama berbincang dan mencapai kata putus yang jelas dan tepat. GMUKM melihat sebarang perubahan dasar perlu dilihat dari konteks jangka masa panjang, selaras dengan gagasan pemimpin negara yang ingin melihat negara Malaysia yang tercinta ini mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Thursday, July 29, 2010

2S - Pemeriksaan Motor PERCUMA !


Bersempena dengan Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM 2010 yang bertemakan " Utamakan Keselamatan, Hargai Kesihatan, Lestarikan Persekitaran" anjuran Jawatankuasa Keselamatan & Pekerjaan UKM & PPUKM , maka Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) berbesar hati turut menyahut tema berkenaan dengan mengadakan program Pemeriksaan Motor Percuma bagi seluruh mahasiswa UKM pada;

TARIKH : 30 Julai 2010 (Jumaat)
TEMPAT : Parkir Motor Fakulti Pengajian Islam (FPI)
MASA : 5.30 - 7.00 petang

Diharapkan program yang berteraskan keselamatan kenderaan ini bakal mendapat sambutan daripada para mahasiswa UKM sekalian.


Ber-GM Selamat & Sihat !

2S - UKM Berselawat


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyedari kesihatan diri bukan semata-mata dari fizikal, malah yang lebih penting adalah keperluan penerapan hal ehwal kerohanian dalam diri setiap insan untuk melengkapkan kesihatan yang hakiki.

Maka GMUKM dengan berbesar hati mengajak teman-teman dan para sahabat sekalian untuk turut hadir ke program 'UKM Berselawat' yang bakal dipimpin oleh pimpinan GMUKM.

Majlis yang bakal bermula pada pukul 12.30 tengahari pada 30 Julai 2010 bersamaan 18 Sya'ban ini akan berterusan sehingga masuk waktu Solat Jumaat.

Semoga program pengisian kerohanian yang julung-julung kalinya diadakan ini bakal menggamit rasa keinsafan dan muhasabah diri para mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia. Insyallah..

Maka dengan rasa rendah diri ini, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyeru semua mahasiswa UKM untuk hadir ke majlis 'UKM Berselawat' ini. Pohon untuk sebaran semua mahasiswa UKM.

AKSIS beraksi



Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) terus menyahut seruan  Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM 2010 yang tercinta ini dengan meneruskan kempen-kempen Selamat & Sihat (2S) di sekitar UKM. 

Terbaru GMUKM melalui 'front' Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS) telah menganjurkan Pidato Keselamatan di Sudut Pidato (Speaker Corner) berhampiran Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) pada siang tadi.

Pidato pada kali ini dipengerusikan oleh saudari Azida dari Fakulti Ekonomi & Pengurusan (FEP) manakala pemidato pada kali ini merupakan Pengerusi AKSIS sendiri, saudari Nabilah bt Mohamad Maiyidin yang juga MPP Mahasiswa dan saudari Nurul Jawahir Md Ali selaku jurucakap AKSIS.

Berteraskan pengutamaan kesihatan terutama kesihatan dalaman, MPP Nabilah banyak membicarakan tentang kepentingan menjaga kesihatan kerohanian yang khusus ditujukan kepada para mahasiswa UKM yang tergolong di dalam usia awal dewasa. Maka seharusnya para mahasiswa banyak melakukan muhasabah diri demi kesinambungan generasi yang sihat jasmani dan rohani.



Pemidato seterusnya, saudari Nurul Jawahir Md Ali dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK) pula banyak membawakan isu-isu keselamatan yang seharusnya para mahasiswa cakna dan ambil peduli. Sindrom ke'tidak-peduli'an kini terutama di kalangan generasi muda amat membimbangkan,  sepertimana ditekankan oleh saudari Jawahir dalam pidato beliau.

Sindrom ke'tidak-peduli'an ini, ujar beliau lagi banyak merugikan bangsa dan negara yang akhirnya akan kembali mengakibatkan masalah kepada diri mahasiswa itu sendiri.


Keseluruhannya biarpun kehadiran para penonton yang agak kurang memberangsangkan, tetapi  di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) ia nyata memuaskan hati kerana tajuk yang diketengahkan kali ini sememangnya amat penting biarpun agak kurang  popular dan mendapat tempat di hati mahasiswa. Namun apa yang penting bagi GMUKM, aktiviti ilmiah sebegini seharusnya diperbanyakkan lagi terutama di peringkat Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) sendiri.




Di samping itu, di peringkat penganjur iaitu Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengharapkan kehadiran mahasiswa-mahasiswa yang cakna isu kampus ini akan turut mampu menyampaikan isi-isi pidato kepada teman-teman di luar sana yang tidak berkesempatan untuk hadir ke Pidato Keselamatan kita pada kali ini.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) juga mengharapkan lebih ramai lagi para mahasiswa UKM akan berani tampil untuk menlahirkan idea dan pandangan  yang segar dari diri masing-masing kerana dari penganjuran aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan mencambahkan idea ilmiah dan keintelektualan para mahasiswa. Tanpa aktiviti-aktiviti yang sebegini digiatkan, maka akan terhasillah generasi mahasiswa yang kurang bermaya dan bersifat pasif; yang tidak seharusnya ada dalam diri anak muda.

Akhir kalam, Ber-GM Selamat & Sihat !


Saifuddin: Benarkan mahasiswa berpolitik juga

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik. Saifuddin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang.Cadangannya itu berikutan pengumuman semalam bahawa guru berijazah dibenarkan berpolitik.
“Masa telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik,” katanya.
Menurut Saifuddin, Akta Universiti dan Kolej Universiti hanya membenarkan pelajar terbabit dengan politik jika mereka mendapatkan kebenaran daripada naib canselor (VC).
“Jika ada klausa yang mengatakan bahawa VC boleh membenarkannya, maka adalah lebih baik membenarkannya secara keseluruhan. Tetapi jika ini menyusahkan, maka lebih baik membuat lebih banyak pindaan,” katanya.
Seringkali pelajar universiti yang didakwa terbabit dalam kempen politik menyaksikan kelab politik di universiti mereka juga digantung. Mereka juga sukar mendapatkan kebenaran daripada naib canselor untuk bergiat dalam politik.
Langkah bijak
Katanya lagi tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan membenarkan guru berijazah berpolitik adalah langkah bijak kerana ia boleh mengurangkan politik wang di negara ini.
"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberi peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," katanya.
Sebagai contoh, Saifuddin berkata apabila guru secara rasmi dilarang berpolitik pada 1993, Umno menyaksikan kemasukan besar-besaran ahli korporat dan usahawan.
“ Masanya adalah seperti itu. Seseorang boleh membuat kesimpulan berdasarkan perkaar berkenaan,” katanya.
“Politik adalah perkara akar umbi. Terdapat guru lulusan ijazah di seluruh negara, termasuk di kampung. Apabila guru dihadkan daripada berpolitik, cawangan politik kekurangan orang yang berilmu.
“Lagipun kita tidak mempunyai arkitek dan jurutera di setiap kampung,” kata Saifuddin, yang juga adalah ahli majlis tertinggi Umno.
“Saya sentiasa berpendapat tidak membenarkan guru berpolitik adalah satu kesilapan,” katanya lagi.

Sumber:Malaysiakini

Wednesday, July 28, 2010

MPP Nabilah turun padang kempen 2S

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) meneruskan Kempen Selamat & Sihat (2S) melalui pengedaran 'pamplet' di kawasan fakulti-fakulti yang diketuai MPP Nabilah.



Kelihatan saudari Nabilah selaku MPP Umum Tahun 3/4 yang berkesempatan meluangkan masa untuk turun padang mengedarkan 'pamplet'  Selamat & Sihat  yang menekankan isu-isu keselamatan diri dan kenderaan.



" Ber-GM Selamat & Sihat !!! "

TV GMUKM : GM Sihat

Jom turun SENAM-RIA GMUKM


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyeru para mahasiswa UKM untuk sama-sama turun beriadah bersama-sama kepimpinan GMUKM pada 

Tarikh : 29 Julai 2010 (Khamis)
Masa : 5.30 - 6.30 petang 
Tempat : Pusat Sukan / Stadium UKM

GMUKM menyeru para mahasiswa UKM untuk bersenam kerana ia amat penting bagi kesihatan kita, kerana dengan bersenam, ia boleh membantu metabolisme badan kita menjadi lebih baik. Selain itu, bersenam juga boleh menyegarkan mental seseorang. 

Masyarakat kampus kita kini menghadapi banyak tekanan dari segi keluarga, pelajaran akademik dan lain-lain, maka  dengan senaman yang kerap juga boleh menenangkan tekanan kita. 

Ada berpendapat dan memberi alasan letih lantas enggan bersenam langsung, tetapi pada pendapat penulis kemungkinan badan mereka mengandungi banyak toksin justeru mereka patut memulakan tabiat bersenam.

Akhir kalam GMUKM menyeru kepada para semua mahasiswa supaya menjaga kesihatan melalui kunci kesihatan kita iaitu pemakanan seimbang; senaman yang tertib dan kerehatan yang mencukupi. 

Ber-GM Selamat & Sihat !

TV GMUKM : jangan lupa kunci motor anda !

Tuesday, July 27, 2010

Ber-GM Selamat & Sihat !

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyambut baik Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) UKM 2010 anjuran Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UKM yang bermula 26 Julai sehingga 30 Julai 2010.


Bersambutan dengan Minggu Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (MKKP) ini, GMUKM turut melancarkan Kempen Selamat & Sihat (2S) yang bertemakan Ber-GM Selamat & Sihat yang turut membabitkan beberapa aktiviti yang menarik sepanjang minggu ini.

Antara aktiviti yang telah berlangsung termasuk edaran 'flyers' di Pusaneka.






Pengedaran 'flyers' berteraskan elemen yang menekankan isu keselamatan dan kesihatan dalam skop mahasiswa masa kini terutama dalam konteks kampus UKM. GMUKM melihat isu ini serius dan amat penting dibawa untuk pengetahuan semua mahasiswa UKM dalam mewujudkan  masyarakat kampus UKM sebagai masyarakat yang prihatin.

Beberapa keping poster juga berteraskan keselamatan dan kesihatan turut ditampal di sekitar kolej kediaman dan kawasan-kawasan awam dan fakulti-fakulti.







Semoga aktiviti-aktiviti mendapat komitmen dan sambutan yang memberangsangkan daripada semua mahasiswa dalam mencapai visi mewujudkan kampus yang selamat dan sihat.

Ber-GM Selamat & Sihat !

Saturday, July 24, 2010

SELAMAT-SIHAT


GMUKM kembali !

Berkesinambungan dengan program Universiti Kebangsaan Malaysia, pihak Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dengan ini melancarkan Program Selamat Sihat (2S) bermula 26 - 30 Julai ini.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang minggu ini. Nantikan maklumat-maklumat terkini dari semasa ke semasa.

Ber-GM SELAMAT & SIHAT!

Wednesday, July 21, 2010

Monday, July 19, 2010

Sunday, July 18, 2010

PERUTUSAN KHAS SEMPENA MINGGU PENGENALAN PERSATUAN PELAJAR

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam sejahtera,salam perubahan dan salam mahasiswa.

Selamat datang dan tahniah diucapkan kepada mahasiswa baru, dan selamat kembali ke medan juang kepada mahasiswa lama. Bergelar mahasiswa bukanlah satu tiket untuk kita berasa selesa dengan mengizinkan diri kita terus hanyut dibuai arus dunia tanpa pegangan dan panduan hakiki.Adalah amat penting untuk kita menyedari hakikat bahawa, mahasiswa merupakan agen perubahan ,bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah terhadap agama, bangsa dan negara. Menjalani kehidupan kampus memang seronok dan mencabar. Namun jangan biarkan keseronokan mencampakkan kita kepada kehancuran. Selitkan dalam setiap keseronokan dan cabaran itu, rasa waspada, agar diri kita sentiasa berhati-hati terhadap apa yang kita lakukan. Jangan butakan mata hati kita dengan menerima segala-galanya tanpa berfikir terlebih dahulu. Buktikan bahawa mahasiswa adalah golongan yang berfikir!

Mahasiswa juga perlu menyedari hakikat bahawa semangat anak muda yang mengalir dalam jiwa mahasiswa, amat dahagakan keadilan dan kedamaian, serta bencikan kezaliman dan kejahilan. Jangan biarkan semangat suci itu dihijab oleh kerakusan nafsu dan ego kita. Tidak dinafikan, bersendirian akan membuatkan kita hanyut tanpa kita sedari. Oleh itu, amatlah penting agar mahasiswa melibatkan diri dengan persatuan, agar hidup kita lebih terarah dan dalam masa yang sama sesuatu perubahan itu lebih mudah berlaku apabila kita bersatu.

Rakan mahasiswa sekalian,

Tujuan utama kita menjejakkan kaki kealam kampus ini adalah menuntut ilmu. Namun perlu diingat, ilmu berada di merata tempat, tidak hanya berada di dewan kuliah. Secara khususnya kita belajar di dewan-dewan kuliah, namun buka fikiran kita, bahawa ilmu ada dimana-mana. Penglibatan kita dengan persatuan juga akan memberikan kita ilmu yang baru. Kehidupan dikampus adalah kehidupan yang paling hampir sebelum kita menjengah kerealiti dunia sebenar. Ambillah peluang ini untuk menjiwai erti kehidupan sebenar, sebagai persediaan sebelum kita terus mengorak langkah ke dunia sebenar yang lebih mencabar.

Sahabat sekalian,

Sedarkah kalian, mahasiswa sentiasa menjadi buah hati masyarakat dan negara? Pernahkah kita tertanya,mengapa masyarakat dan negara amat ‘menjaga hati’ mahasiswa? Sedarlah, bahawa kita adalah aset penting negara. Halatuju dan percaturan negara berada ditapak tangan kita. Mahukah kita mengecewakan hasrat mereka? Bangkitlah, sedarlah, mahasiswa adalah suara masyarakat. Jangan biarkan mereka kecewa kerana kelesuan kita. Siapa lagi yang ingin mereka harapkan jika kita,golongan mahasiswa ini sendiri lesu? Bangkitlah, suarakan hasrat hati mereka. Hentikan segala penindasan dan kezaliman terhadap mereka. Prihatin segala permasalahan yang dihadapi mereka. Ingatlah, kita pencetus perubahan negara!

Mahasiswa sekalian.

Jadilah kita mahasiswa yang benar-benar terdidik bukan sahaja dari segi intelektualnya, malah dari segi sahsiah,peribadi dan kepimpinan. Ayuh kita bergabung tenaga untuk meningkatkan momentum kebangkitan mahasiswa

Ber-GM Lebih baik!

MOHD HAFIZ BIN ABDUL RAZAK
Presiden Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)


Saturday, July 17, 2010

SPECIAL QUIZ FOR TODAY !



1. Siapakah yang sedang bercakap?
A. MPP
B. PC Kolej
C. Unit Keselamatan 

2. Di manakah kejadian ini berlaku ?

A. Kolej Rahim Kajai
B. Taman Kajang
C. Kedai Sate Kajang

3. Siapakah pihak ketiga yang disebut-sebut oleh yang sedang bercakap ?
A. Aspirasi
B. GM
C. JAKSA Kolej




P/S : Sila kumpul soalan sehingga siri ketiga!



Faham tak??? 
Faham takk??? 
Faham takkk???  

Faham takkk nieee???
 (fahammmmmmm!!!!!!)

Friday, July 16, 2010

Kelab Aspirasi ingkar arahan TNC HEPA


Memalukan !

Malah menJENGKELkan !

Aspirasi tanpa segan-silu  telah menyalahgunakan kuasa dan amanah diberi dengan mengedarkan borang-borang pendaftaran untuk menyertai Aspirasi atau nama penanya, KELAB SAHABAT 1MALAYSIA walaupun jelas mendapat arahan daripada Pejabat TNC HEPA untuk mana-mana persatuan DILARANG berada DI DALAM UKM sepanjang Minggu Mesra Pelajar, apatah lagi menjalankan usaha-usaha merekrut para pelajar baru.

Pada mulanya Wartawan GMUKM tidak bercadang untuk menyebarkannya, kini terpaksa dikemukakan kepada khalayak umum kerana kebokbrokan Aspirasi jelas tiada kesudahannya. Buktinya Aspirasi masih berdolak-dalih dengan isu ini dalam Debat Perdana yang dianjurkan semalam. Justeru di peringkat GMUKM, kita mengambil sikap untuk membongkar satu per satu kebokbrokan dan penyelewangan yang telah dilakukan di peringkat Aspirasi; bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak, tetapi semata-mata untuk menegakkan keadilan dan memurnikan penerangan yang nyata berat sebelah.

Nantikan susulan pembongkaran yang lebih hangat berkenaan penyelewengan kuasa Pemudah Cara a.k.a Jaksa a.k.a Aspirasi !

Thursday, July 15, 2010

1 - 0

Keberanian Aspirasi menghantar wakil melalui PMUKM iaitu saudara Hamzah, Kamal Ali dan Rasydan dipuji Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) tetapi mendukacita apabila didapati wakil yang dihantar kelihatan kekeringan idea dan hujah bagi menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan pihak GMUKM dalam Debat Perdana anjuran GMUKM pagi tadi.

Seorang pelajar tahun dua dari Fakulti Ekonomi & Perniagaan yang hanya dikenali sebagai Zack berkata, beliau agak kecewa dan terkilan dengan hujah yang dikeluarkan oleh Presiden PMUKM, saudara Hamzah.

" Kami dari fak (fakulti) yang sama. Saya pernah beberapa kali berbual dengannya. Dia seorang yang ok. Tetapi saya lihat dia hari ni dalam keadaan yang emosional sangat dan gagal menjawab (isu-isu dibangkitkan).  (Mungkin) tertekan dengan isu MMP ni kott " ujar Zack.

Wartawan GMUKM juga mendapati kehadiran mahasiswa UKM hari ini yang agak memberangsangkan yang dianggarkan melebihi 50 orang dalam ruang Sudut Pidato yang kecil kerana berkongsi dengan Teres Ekoniaga dan tempat letak motorsikal di PTSL juga mencetuskan suasana 'panas'. 

 


Kehadiran yang seimbang di antara penyokong Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dan Aspirasi menghangatkan lagi suasana apabila sesuatu isu dibangkitkan dan gagal  pula dijawab oleh pihak lawan. Juga kehadiran beberapa orang tidak dikenali juga dipercayai 'dijemput' khas oleh pihak pentadbiran untuk memantau keadaan juga menjadikan suasana debat pada kali ini 'hidup' dan memberi  lebih motivasi kepada para pendebat.

Antara isu yang diutarakan pada debat kali ini ialah isu;
- imej UKM tercalar dengan demonstrasi yang kononnya gemar dianjurkan GMUKM
- aktiviti pendoktrinasi dalam kolej berkenaan GMUKM yang dilabelkan suka melanggar peraturan universiti
- rampasan 'booklet' Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi
- pengedaran borang Kelab Aspirasi yang kononnya dibenarkan oleh Presiden PMUKM
- Pemudah Cara (PC) meremeh-remehkan soal kepentingan solat di awal waktu

Para pendebat pada kali ini didapati sudah bersedia dengan hujah masing-masing tetapi sedikit ralat apabila terdapat pendebat yang sengaja mengalih isu apabila ia terkena pada 'batang hidung' sendiri. Ini menyebabkan perjalanan penerangan isu sedikit teralih dan kurang kesampaian maksud sebenar.

Justeru diharapkan kepada semua mahasiswa terutama pelajar tahun satu untuk bersama-sama Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) dalam kita mereliasasi visi dan misi serta Falsafah UKM. 

BER-GM LEBIH BAIK!

Sekitar Debat Perdana : Isu MMP

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mengucapkan tahniah di atas komitmen dan pembabitan berani ahli Debat Perdana yang diadakan sebentar tadi. Debat Perdana hari ini yang dipengerusikan oleh saudara Ahmad Firdaus bin Ahmad Azam dengan wakil Gabungan Mahasiswa dibarisi saudara Muhammad Faiz bin Ismail, saudara Hafiz bin Abdul Razak dan saudara Fadhlan bin Sugiman manakala Aspirasi dibarisi oleh saudara Mohd Hamzah bin Zainul Abidin, Mohd Kamal bin Ali dan Mohd Rasydan bin Mohd Rais.


Debat Perdana yang dimulakan oleh saudara Hafiz selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa berjaya memanaskan debat dengan membangkitkan isu doktrinasi oleh Pemudah Cara (PC) kolej sepanjang Minggu Mesra Pelajar. Isu ini kemudian dijawab oleh saudara Kamal Ali yang mengatakan Gabungan Mahasiswa adalah pertubuhan haram yang tidak berdaftar; yang perlu berdaftar terlebih dahulu sekiranya ingin masuk ke dalam kolej-kolej kediaman. Dalam isu doktirinasi, saudara Kamal Ali gagal menjawab dan cuba mengalih topik dan membuat kesimpulan di akhir ucapannya supaya GMUKM mendaftarkan terlebih dahulu sebelum membicarakan isu MMP.

Seterusnya saudara Faiz dari GMUKM yang juga MPP Mahasiswa membidas sikap dolak-dalik saudara Kamal Ali yang gagal menjawab kerelevanan aktiviti doktirinasi para mahasiswa baru di dalam kolej-kolej kediaman sepanjang MMP. MPP Faiz juga mempertikaikan kejantanan Aspirasi yang berselindung di sebalik pihak pentadbiran dan hanya berlagak berani di hadapan para mahasiswa tahun satu.

"Mereka (Aspirasi melalui pihak pentadbiran) hebat membuat undang-undang tetapi mereka sendiri hebat mencabul undang-undang!"

Faiz juga menjelaskan isu demonstrasi yang dipertikaikan oleh Aspirasi yang mendakwa menjejaskan nama baik universiti

"Kita tidak suka-suka (berdemo). Baik kita belajar (daripada berdemo)...Kaji dulu kronologi  demo (mengapa berlaku demonstrasi). Demonstrasi tidak pernah jadi titik mula.. Siapa yang tidak matang  (menangani isu demonstasi) ?? "

Merespon isu ini, saudara Rasydan cuba berhujah dan membangkitkan perihal demonstrasi yang dikatakan memburukkan nama universiti sekali lagi, tetapi beliau kelihatan kehilangan kata-kata dengan mengulang-ulang ayat yang sama dan seterusnya gagal menjawab persoalan yang dikemukakan.


Seterusnya dalam pusingan kedua, saudara Hamzah selaku Presiden PMUKM menjawab persoalan daripada moderator yang membangkitkan isu 'booklet' PMFST. Saudara Hamzah  jelas kelihatan kehilangan hujah apabila cuba mengaitkan isu 'booklet' PMFST dengan 'sifat pemalu orang Malaysia'.

" Kalau malu, lapar.. Itu kan sifat orang Malaysia? "

Jawapan yang diberikan nyata mengecewakan hadirin yang inginkan penjelasan yang tepat dan jelas, bukan sekadar menyedapkan ayat saja.

Manakala dalam isu PC menghalang solat yang dibangkitkan dalam blog ini, saudara Hamzah juga didapati gagal memahami persoalan yang dibangkitkan, seterusnya terus bermain-main dengan ayat kononnya beliau sendiri telah ke kolej-kolej memantau mana-mana PC yang menghalang solat. Ini menyebabkan hadirin terpinga-pinga dan kurang jelas dengan maksud yang cuba disampaikan dan seterusnya menyebabkan saudara Fadhlan selaku Exco Penyelidikan & Pembangunan (R&D) ISIUKM membangkitkan semula isu solat ini.

" PC memang tidak secara terang menghalang solat, tetapi sikap PC yang sengaja meremeh-remehkan solat dan lebih mementingkan aktiviti yang kita bangkitkan! " saudara Fadhlan mengulangi penjelasan dan memohon penjelasan yang tepat dan padat.



Pusingan debat seterusnya dibuka untuk soal jawab oleh para hadirin. Antara isu yang dibangkitkan adalah rampasan 'booklet' PMFST dan kehadiran Kelab Aspirasi yang berdaftar di bawah kolej. Saudara Hamzah selaku Presiden PMUKM menjawab beberapa persoalan dan  seterusnya penyelaras PC Kolej Tun Hussein Onn mencelah untuk menjawab beberapa isu yang dibangkitkan dalam pusingan pertama dan kedua.

Ironinya, Debat Perdana kali ini juga membabitkan kehadiran dan pengakuan seorang mahasiswa tahun satu bagi Kolej Burhanudin Helmi yang membangkitkan pengalaman beliau sendiri berjumpa dan menghadapi PC yang kelihatan sengaja meremeh-remehkan solat. Hal ini kemudian dijawab oleh wakil PC Burhanudin Helmi yang mendakwa pihak GMUKM sendiri yang sengaja menimbulkan isu 'menghalang solat' dengan memutarbelitkan dan menyamakan istilah 'menghalang solat' dan 'meremehkan solat' sekaligus pihak GMUKM sengaja mempopularkan istilah 'menghalang solat' dan menjadikan ia sebagai sebuah isu.

Menjelang jam 12.15, Debat Perdana menuju ke pusingan pergulungan. Di barisan GMUKM, sesi penggulungan oleh saudara Faiz yang menekankan sifat mahasiswa yang perlu kehadapan mendepani dan cakna isu, manakala di peringkat Aspirasi digulung oleh saudara Kamal Ali. Di akhir majlis, para hadirin bersalam-salaman dan bersurai dengan aman.

Di peringkat GMUKM, kita mengharapkan akan ada lagi siri-siri debat sebegini antara kedua-dua pihak yang mencambahkan ilmu pengetahuan serta cakna isu di universiti selain menimbulkan rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan mahasiswa. Justeru di masa-masa hadapan, kita mengharapkan akan ada lagi ramai mahasiswa yang berani ke hadapan menegakkan kebajikan dan keadilan untuk semua.


Kemenangan Awal Mahasiswa

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengucapkan tahniah di atas 'kejantanan' pihak MPP Aspirasi yang berani menyahut cabaran pihak GMUKM. Pihak GMUKM juga mengharapkan kehadiran seramai mungkin hadirin terutama daripada para mahasiswa tahun satu yang baru menjalani Minggu Mesra Pelajar (MMP) bermula 04 - 10 Julai yang lalu.

Namun dalam pada itu, pihak GMUKM melahirkan kekecewaan di atas sikap PMUKM yang diterajui saudara Hamzah yang agak lembab dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti ilmiah seperti debat yang bakal dianjurkan pada hari ini. Kepimpinan Hamzah yang diharap dan ditunggu-tunggu untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti ilmiah dalam kampus sehingga kini nyata gagal memenuhi dan mendokong Falsafah UKM yang menyuburkan budaya keilmuan dan keintelektualan. 

Justeru Debat Perdana yang bakal berlangsung pada pukul 11 pagi ini dijangka akan panas dengan isu-isu yang dialami para mahasiswa baru tahun satu sepanjang Minggu Mesra Pelajar (MMP). Diharapkan kehadiran dan sokongan yang benar-benar jitu daripada para mahasiswa UKM.

Jom ramai-ramai turun Debat Perdana!

Wednesday, July 14, 2010

DEBAT PERDANA : Isu Minggu Mesra Pelajar


DEBAT PERDANA : 
Isu Minggu Mesra Pelajar (MMP)

Tarikh : 15 Julai 2010 (Khamis)
Masa : 11.00 pagi
Tempat : Sudut Pidato (belakang PTSL)

SEMUA DIJEMPUT HADIR !




GMUKM Menuntut Profesionalisme Pihak Pentadbiran

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) memandang serius terhadap isu-isu yang terjadi sepanjang Minggu Mesra Pelajar (MMP). Antaranya isu memburuk-burukkan GMUKM dengan mengaitkannya dengan pihak luar; juga tindakan mengaitkan ISIUKM dengan GMUKM walaupun pihak yang menuduhnya tiada bukti yang jelas; juga berkenaan laporan daripada para pelajar tahun satu yang baru mendaftar, yang mengadu dilayan seperti budak-budak. Itu belum lagi timbul isu para pelajar berkenaan tidak sempat solat sepanjang MMP. Malahan yang amat menjengkelkan pihak GMUKM adalah tindakan Pemudah Cara (PC) yang mengedarkan borang keahlian Aspirasi. Ini jelas membuktikan teori dan maklumat dalaman daripada pemberi maklumat GMUKM adalah tepat dan tidak dapat disangkal lagi!

Justeru pihak GMUKM dengan tegas menyatakan sekeras-kerasnya bantahan terhadap
a) Pemudah Cara Kolej Kolej Burhanuddin Helmi (KBH), Kolej Rahim Kajai (KRK), Kolej Ibrahim Yaacob (KIY) serta sekutu mereka.
b) DUTA, TSB & Aspirasi yang menunjangi Pemudah Cara kolej-kolej berkenaan.
c) Pihak pentadbiran yang sedia maklum ditunjangi Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar & Alumni - HEPA) Ybhg. Prof Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak.

Kenyataan bantahan ini dikeluarkan atas dasar penama-penama terbabit telah melanggari etika dan amalan profesional dalam menjalankan amanah sepanjang Minggu Mesra Pelajar sekaligus menjejaskan kredibiliti Universiti Kebangsaan Malaysia selaku universiti kedua tertua di Malaysia dan antara 8 buah IPTA yang menerima SWA-Akreditasi. Tindak-tanduk daripada penama-penama di atas juga telah mencemarkan nama baik Naib Canselor selaku Pengerusi Eksekutif Majlis UKM yang bertanggungjawab menjalankan pentadbiran universiti agar bebas dari unsur-unsur penyelewangan.

Justeru, di peringkat Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia menzahirkan rasa kekecewaan serta telah dan sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak terbabit. Namun kekecewaan ini gagal diubati melainkan pihak GMUKM berjaya mendapatkan maklumbalas daripada Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar & Alumni - HEPA) Ybhg. Prof Dato' Dr. Mohamad Abdul Razak sendiri.

Untuk itu, sebagai permulaan, GMUKM menganjurkan Debat Perdana yang bakal diadakan pada ;
Tarikh : 15 Julai 2010 (Khamis)
Tempat : Sudut Pidato (bersebelahan PTSL)
Jemputan ahli debat :-

GMUKM
- Muhammad Faiz bin Ismail
- Mohd Hafiz bin Abdul Razak
- Mohd Hilman bin Idham

Aspirasi 
- Mohd Hamzah bin Zainul Abidin
- Mohd Kamal bin Ali
- Mohd Rasydan bin Mohd Rais

Sesi Debat Perdana ini merupakan langkah permulaan bagi pihak Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia dalam menuntut profesionalisme pihak Pemudah Cara (PC), MPP Aspirasi dan pihak pentadbiran hal ehwal pelajar di bawah YBhg Dato' Prof Mohamad bin Abdul Razak. 

GMUKM akan menjalankan dari semasa ke semasa usaha-usaha mendesak pihak-pihak berkenaan mengikut prosedur yang sebenar. Tiada guna menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan, sedangkan ketam sendiri sejak azali memang tidak pernah berjalan lurus.

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !