Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menjangkakan kehadiran mahasiswa yang bakal dan sedang mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara kini bakal mengubah pola politik kampus kepada lebih demokrasi mahasiswa dan berbentuk politik nilai. Hal ini juga disedari ramai pihak terutama pihak kerajaan yang kini giat menjalankan usaha mendoktrin dan melabelkan persatuan-persatuan pelajar yang memperjuangkan isu mahasiswa sebagai ‘radikal dan berhaluan kiri’ di kampus.
Keresahan pihak kerajaan juga dijelmakan melalui pihak pentadbiran universiti yang kini gemar melabel persatuan-persatuan pelajar tersebut sebagai ‘asuhan Jamaah Islamiyyah (JI)’ dalam siri-siri ucapan dan ceramah-ceramah umum di universiti-universiti. Pendekatan terbaru pihak pentadbiran universiti ini dilihat keanak-anakan dan takut dengan bayang-bayang sendiri dan lebih penting, didapati pihak pentadbiran universiti tidak meletakkan keutamaan isu pada yang sepatutnya.
Isu JI yang ditimbulkan menjelang kemasukan para mahasiswa baru ini dilihat seolah-olah untuk menakut-nakutkan warga baru kampus itu untuk menjauhi persatuan-persatuan mahasiswa yang pro-kebajikan mahasiswa sekaligus mengurangkan polemik kononnya. Sedangkan pihak kerajaan dan pentadbiran universiti perlu pada dasarnya membincangkan permasalahan isu kualiti para mahasiswa yang saban tahun bergraduasi tetapi sukar mendapatkan pekerjaan.
GMUKM juga menjangkakan warga baru kampus juga dijangka akan dimomokkan dengan penerangan dan gambar-gambar lalu persatuan mahasiswa yang diistilahkan sebagai ‘agresif’ dan sengaja enggan mengikut prosedur universiti. Dalam masa yang sama, pihak GMUKM juga mendapat maklumat pihak pentadbiran kini mendesak mahasiswa yang menjadi fasilitator dalam minggu orientasi mahasiwa baru untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak pentadbiran memantau pergerakan ahli persatuan pelajar yang ‘radikal’ tersebut semasa hari pendaftaran mahasiswa baru nanti.
Menurut seorang Pemudah Cara (fasilitator) Minggu Mesra Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai N, bermula Minggu Mesra Pelajar pada 4 haribulan sehingga 10 Julai nanti mereka diwajibkan memerhati dan memantau sebarang pergerakan daripada GMUKM. Mereka juga dikehendaki merisik dan mendapatkan maklumat-maklumat dalaman daripada ahli GMUKM berkenaan pergerakan GMUKM sepanjang Minggu Mesra Pelajar sehingga Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P). Semua maklumat tersebut perlu dikumpul dan dihantar setiap hari kepada seorang individu yang dipercayai mendalangi perbuatan tidak bermoral ini.
Hal ini amat dikesali N yang juga pelajar Fakulti Ekonomi & Pengurusan yang pada mulanya beranggapan pihak pentadbiran akan bertindak profesional dalam mengurus kehadiran mahasiswa baru. Tetapi apabila diancam dan diugut dalam Bengkel Pemantapan Pemudah Cara (BPPC) di Besut, Terengganu itu menyebabkan beliau tawar hati menjadi Pemudah Cara MMP itu nanti.
“ Kami juga dikehendaki tidak berhubung dengan mana-mana pihak luar terutama rakan-rakan dari GM kerana mereka takut perkara ini akan terlepas ke pengetahuan GM. ” ujar N dalam emel yang dikirim ke pihak GMUKM.
Wartawan GMUKM segera mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pengarah Operasi MMP pada kali ini, saudara Mohamed Falihin Othman tetapi tiada respon yang diberi.
0 comments:
Post a Comment