Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, September 28, 2012

MINDA LUTFI : PRK buktikan BN bakal menang PRU13?

Jam 11.15 malam, 25 September. Saya tidak boleh menunggu lebih lama untuk merakamkan keputusan pilihan raya kampus 2012. Kolum Catatan Hujung edisi Jumaat ini mesti diisi sebelum tengah malam.

Awalnya saya menjangkakan pengumuman dibuat sekitar jam 10 malam. Namun, debar dan getarnya yang sepatut sudah berakhir, masih terasa. Tanda tanya besar belum dapat dilangsaikan lagi.

Sepatutnya tiga universiti awam utama -- Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia -- yang menjadi medan pertembungan sengit di antara kumpulan Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi sudah mengisytiharkan calon-calon yang mendapat mandat baru menerajui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Saya cuba menghubungi rakan-rakan pimpinan pelajar untuk mendapatkan maklumat lanjut.  Rupanya, mereka mengesahkan, belum ada pemenang yang jelas. Keletihan sepanjang berkempen, apatah lagi terpaksa berdepan pelbagai karenah dan halangan yang sengaja dipasang pentadbiran universiti (yang bersikap memihak dan pilih kasih itu) ternyata belum berakhir.

Lebih menakjubkan, UM mencatatkan keputusan seri dan terpaksa ditunggu esoknya. (Kemudiannya dimaklumkan pemilihan semula diadakan pada Jumaat, 28 September, namun kempen tidak dibenarkan lagi. Pro-M menang 20 kerusi, manakala saingannya, yang dikatakan mesra BN mendapat 19 kerusi dan dua calon bebas turut berjaya. Untuk baki dua lagi kerusi, calon-calonnyanya mendapat undi sama banyak!


Kontroversi
Pagi tadi, Selasa, 25 September sebelum pusat pengundian dibuka, saya agak kaget dengan SMS yang memaklumkan Pengerusi Pro-M Nasional, yang juga aktivis pelajar Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto, diserang lima lelaki, di Seksyen 17 Petaling Jaya, dipercayai ada kaitan dengan bahang panas pilihan raya kampus. Beliau terpaksa dirawat di Pusat Perubatan UM. Budaya samseng yang menganggu aktiviti politik Pakatan Rakyat telah menjalar ke universiti.

Paling mengejutkan di UIAM, keputusan terpaksa digantung disebabkan jumlah undi yang direkodkan melebihi jumlah mahasiswa keluar mengundi. Sistem pengundian elektronik (e-undi), yang dicurigai selama ini, khususnya oleh aktivis Pro-M, dikatakan menjadi puncanya.

Dan mungkin pilihan raya terpaksa diadakan semula secara manual. (Lebih dibimbangi jika terdapat elemen penipuan; mengulangi proses perjalanan pilihan raya umum yang tempang dan tidak demokratik).

Merujuk memorandum "Bersih Kampus" oleh kumpulan Pro-M, yang dihantar kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof Dr Rohana Yusof, pada 12 September lalu, dikemukakan enam tuntutan asas bagi memastikan pilihan raya kampus dijalankan secara bersih, adil dan berintegriti.

Di antara tuntutan itu ialah pemantauan pilihan raya, kebebasan berkempen dan sistem pengundian yang telus. Malangnya pihak universiti difahamkan bukan sahaja bersikap "pekak badak" terhadap memorandum tersebut malah secara terang-terangan -- termasuk Dr Rohana sendiri -- turut berkempen memburuk-burukkan kumpulan Pro-M, terutama di kolej-kolej kediaman.

Peluang untuk bertemu pelajar, terutama di kolej-kolej kediaman itu dinafikan. Manakala calon-calon Pro-A dapat menggunakan kenderaan kolej dan bilik mesyuarat asrama dijadikan markas kempen. Ya, pegawai-pegawai kanan universiti, yang sepatutnya menjadi seperti ayah dan ibu kepada semua pelajar, menunjukkan teladan yang cukup buruk, demi memuaskan kehendak taukeh-taukeh politik di atas sana.

"Di kampus Universiti Malaya, selain di kolej kediaman yang dikawal mutlak kumpulan Pro-Aspirasi, seolah-olah tiada pertandingan. Pro-A kelihatan seperti tidak berkempen ... saya pun pelik melihatnya, tapi tengoklah keputusannya nanti," kata mahasiswa tahun ketiga, yang tidak berpuas hati dengan amalan pilih kasih HEP terhadap calon-calon yang bertanding, dengan memberikan kelebihan ketara kepada Pro-A. Saya dapat rasakan pelajar tersebut agak risau dengan penipuan yang boleh berlaku, apatah lagi apabila pentadbiran universiti bersekongkol dengan Pro-A.

Ops 20/20
Segera saya teringat pendedahan "Ops 2020" -- konspirasi jahat pegawai-pegawai kanan Perdana Menteri, diketuai Setiausaha Politiknya, bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Biro Tata Negara dan Bukit Aman bagi memenangkan kumpulan Pro-Aspirasi di semua 20 IPTA -- yang menyasarkan tiga kampus utama tadi. Pengurusan HEP secara terangan dan menjolok matamemihak kepada Pro-A, demi mengalahkan Pro-M, mungkin sebagai memenuhi kriteria KPI masing-masing.

Tanpa mengetepikan kepentingan universiti lain, kampus-kampus di Lembah Klang itu dilihat berupaya mewakili trend semasa perjuangan mahasiswa dan sering "dicemburui". Pelbagai  kaedah dan taktik licik telah digunakan untuk merampas MPP di UKM, UIAM dan UM daripada terus dikuasai Pro-M.

Meskipun juak-juak Najib Razak boleh mendakwa mereka menang besar selain tiga kampus tersebut, tetapi saya yakin masih ramai mahasiswa yang tidak suka dipetakkan oleh dua kumpulan besar itu -- Pro-M dan Pro-A.

Dalam masa masa, ada calon-calon yang dikelompokkan sebagai Pro-A sebenarnya tidak berminat untuk dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan terdapat kampus-kampus tertentu, misalnya Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang dikongkong ketat pengampu Umno, diketuai Naib Canselornya sendiri.

Tiada ruang untuk mahasiswa bebas berorganisasi dan menunjukkan sikap politik mereka, sehingga calon-calon yang dikira tidak selari dengan aspirasi Umno menghadapi kesukaran, hatta untuk mendapatkan borang pencalonan dan pengesahan pensyarah.

Maknanya, juak-juak Najib tidak perlu sombong dengan kemenangan mudah Pro-A di UiTM apabila peluang untuk mahasiswa yang dilihat independen ditutup serapat-rapatnya di kampus berkenaan.

Transformasi politik kampus gagal?
Semasa pentadbiran Najib mendakwa program transformasi politik semakin diperluaskan, termasuk ke kampus-kampus apabila Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Univesiti dipinda bagi membenarkan mahasiswa berpolitik dan autonomi mahu dikembalikan, namun hakikatnya, realiti hidup di menara gading tetap terkurung dan terpasung. Banyak perkara tidak masuk akal masih berlaku!

Khususnya di universiti tertentu, terutama di bawah pengurusan yang bebal dengan budaya mengampu, mahasiswa masih dilayan seperti budak sekolah. Lebih dahsyat, belenggu yang mengikat kakitangan akademiknya  bukan saja belum dapat dipecahkan, malah semakin diperketatkan. Kebebasan akademik hanya ilusi. Ruang untuk bersuara, apatah lagi mengkritik dan menegur, walaupun secara ilmiah menurut bidang pengkhususan masing-masing, tetap menipis.

Sukar untuk saya menduga reaksi Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang begitu bersungguh-sungguh berikhtiar  membenarkan mahasiswa berpolitik dan memegang jawatan dalam parti. Hasratnya untuk meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam proses membuat keputusan, bukan saja tidak dihormati bosnya sendiri, Mohamed Khaled Nordin, malah diremehkan kepemimpinan universiti terutama Hal Ehwal Pelajar yang masih jumud dengan cara berfikir lama dan kuno.

Dalam tulisannya bertarikh 11 Disember 2011, Saifudin menekankan: "Peluang meminda (Auku) ini perlu juga digunakan untuk membincangkan peningkatan penghakupayaan mahasiswa. Contohnya, ialah membenarkan mahasiswa melaksanakan sendiri pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan mempermudah atau mengurangkan karenah birokrasi dalam meluluskan program-program anjuran mahasiswa."

Namun, segalanya kekal sebagai angan-angan. Dari aspek tertentu, pemilihan MPP lebih buruk dan kotor daripada pilihan raya umum. Lebih memalukan apabila pihak yang menguruskan pilihan raya kampus itu, dari masa ke semasa, sentiasa mencari pendekatan dan taktik untuk mensabotaj kumpulan Pro-M atau apa saja kumpulan mahasiswa yang dikira mempunyai agenda bertentangan dengan Umno-BN. Dahsyat, 'kan?

Sebelum saya mencari kalimat sesuai untuk perenggan terakhir  artikel ini, sekitar jam 12 malam, 25 September, saya mendapat khabar kumpulan Pro-M (atas nama Gabungan Mahasiswa UKM) berjaya mengekalkan penguasaan mereka di UKM, dengan memenangi 19 daripada 28 kerusi.

Tentunya saya gembira dan bersyukur denngan keputusan itu, namun cepat-cepat saya menyedari bahawa siapa saja yang menang, Pro-M ataupun Pro-A, mereka semua adalah anak-anak muda berbakat yang patut diberi peluang sewajarnya.

Mahasiswa perlu diberi ruang
Biarkan mereka meredah dunia kepemimpinan kampus, belajar mencabar dan bersedia dicabar, turun ke medan dengan tekad dan keazaman untuk melakukan perubahan, tanpa perlu "dicucuk hidung atau dipandu arah" oleh mana-mana golongan yang berkepentingan.

Secara peribadi, saya mengharapkan setiap calon yang diberi kepercayaan oleh mahasiswa untuk menganggotai dan menerajui MPP, ya, tidak kira daripada kelompok mana sekali pun, harus memegang amanah besar ini dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Tugas mereka cukup besar dan juga kritikal, bukan sahaja mengatur aktiviti dan program rutin, menjuarai kepentingan dan kebajikan pelajar, malah seperti kata Saifuddin, untuk turut terlibat secara proaktif dalam proses membuat keputusan, termasuk di peringkat paling tinggi.

Seperti diungkapkan Saifuddin, gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat dan ciri advokasi, dan bukannya sekadar program "aktiviti" dan "bakti" semata-mata.  Advokasi merupakan proses pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan dan ia dilakukan melalui memorandum, perundingan, lobi, dan sebagainya. Ada masanya, tambah Saifuddin, ia melibatkan proses mempengaruhi pandangan khalayak seperti melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan, demonstrasi dan lain-lain.

Kepada pemimpin parti politik, keputusan pilihan raya kampus tidak semestinya menggambarkan kecenderungan mengundi dalam PRU13 nanti.

*Penulis Ahmad Lutfi Othman merupakan seorang editor bagi sebuah akhbar aliran alternatif. Pendapat beliau tidak menggambarkan pendapat Editor blog GM-UKM.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !