Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, September 30, 2012

Pilihan Raya Kampus Tidak Kena-Mengena PRU13


Pilihan Raya Kampus.
 
RAZIATUL HANUM A. RAJAK
30 September 2012
SHAH ALAM  - Keputusan pilihan raya kampus universiti awam tempatan yang baru selesai tidak boleh dijadikan ukuran arah aliran sokongan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), demikian menurut beberapa penganalisis.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan menegaskan, keputusan pilihan raya kampus yang menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi  menguasai sebahagian besar institusi pengajian tinggi di negara ini tidak ada kaitan dengan pilihan raya umum.
“Pilihan raya kampus tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya umum, jadi keputusannya juga tidak ada kaitan dengan pilihan raya peringkat nasional itu.
“Melalui pilihan raya kampus ini, ia dapat menjadi sebahagian daripada latihan kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin kepada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Beliau berpandangan bahawa setiap calon wajar diberi ruang untuk mengutarakan idea dan pendapat di hadapan pengundi yang terdiri daripada pelajar tanpa sekatan.

“Tindakan melaga-laga antara pelajar tidak wajar dilakukan, malah universiti juga tidak sepatutnya menyekat mereka daripada memberi pandangan kerana kita mahukan pandangan yang pelbagai,” jelasnya.
Keputusan pilihan raya kampus bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 termasuk dua kerusi yang menyaksikan pengundian semula kelmarin menunjukkan kumpulan Pro-Aspirasi menguasai sebahagian besar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengundian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditangguhkan ekoran masalah teknikal.

Kemenangan Aspirasi bukan indikator kepada kerajaan ?
Sementara itu, menurut pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Mohd Bustamam Abd Karim, kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi  dalam pilihan raya kampus sesi ini merupakan indikator kepada PRU13.
“Kemenangan ini memberi kesan kepada golongan muda memandangkan ramai daripada mereka merupakan pengundi baru yang layak mengundi,” katanya.

Tambahnya, “malah ia memberi gambaran jentera pilihan raya sedia ada tidak kira Barisan Nasional ataupun pembangkang.”

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia pula berpendapat bahawa kemenangan Pro-Aspirasi yang berjaya menawan dua pertiga IPTA itu bukan jaminan sokongan ke atas BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Tidak semestinya, jika sekarang Pro-Aspirasi menang, semua pelajar akan menyokong ideologi mereka pada pilihan raya nanti.

“Ada juga pelajar yang menyokong Pro-Aspirasi di kampus tetapi pada pilihan raya peringkat nasional menyokong pembangkang begitu juga sebaliknya. Perkara ini sukar diramal,” katanya.

Tiga penganalisis ini bersetuju bahawa pilihan raya kampus merupakan proses yang signifikan dalam universiti bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi pemimpin.

Mereka juga sependapat di mana perbuatan melabel pelajar seperti Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa merupakan satu kesilapan.

“Tindakan melabel pelajar ini silap. Kita tidak boleh melabel pelajar sebagai Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa kerana mereka pelajar.

“Apabila mereka menang dalam pilihan raya ini, pelajar yang menang. Bukan Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa,” jelas Jayum.

Menurut Azizuddin pula, kesemua pelajar yang bertanding dalam pilihan raya kampus sebenarnya bertanding secara individu dan sepatutnya tidak wujud Pro-Aspirasi  dan Pro-Mahasiswa.

“Sewajarnya tidak wujud label seperti ini tetapi hakikatnya, sejak dulu lagi memang wujud perlawanan ideologi sehingga mewujudkan Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa,” katanya.

Bustamam pula berkata label Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa itu hanya sekadar ‘cap’ sahaja yang akan dihapuskan selepas dilantik sebagai MPP.

“Jangan sisihkan golongan minoriti yang menang  tetapi berbeza ideologi, kerana pemimpin perlu mengawal secara menyeluruh untuk kemajuan semua pihak,” katanya.

-SINAR HARIAN 

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !