Pilihanraya kampus (PRK) saban
tahun tetap dan pasti mewarnai suasana di institusi pengajian tinggi dan
juga kolej universiti di seluruh negara. Sedar atau tidak, mahu atau
tidak mahu, ia juga bakal menjadi buah mulut masyarakat dan pemerhati
politik tempatan.
Di
celah-celah itu, ramai pihak luar yang mempertikai, mengapa para
mahasiswa perlu ambil berat akan pilihanraya ini? Adakah ingin
menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Yang lebih
dibimbangi adakah ia sebagai alat kepada kumpulan atau parti politik
tertentu yang berkepentingan?
Sebenarnya,
Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh
beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar
itu sendiri. Kepercayaan bahawa setiap mahasiswa mempunyai kebebasan
untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin
mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu
kebajikan mereka, serta menyediakan pelbagai jenis program samada ilmiah
atau tidak. Juga atas keperluan lain. Alasan ini paling suci dan asli (genuine) serta perlu diberikan kredit.
Selanjutnya,
PRK merupakan medan demokrasi yang unggul dan tunggal yang mampu
mengajar para mahasiswa erti demokrasi dan pilihanraya sebagaiman di
dunia luar sana. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon,
kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia
merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang
didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya
dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya. Alasan ini
kebiasaannya terpacul daripada mulut-mulut peminat politik negara; dan
biasanya di kalangan orang lelaki Melayu.
Gagasan
demokrasi yang ditonjolkan ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa
bahawa setiap pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan
kepimpinan pelajar. Jadi, faktor sejauhmana demokrasi dalam
diri mahasiswa diaplikasikan adalah penting sebelum mahasiswa menemui
dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu
politik.
Selain
itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin
pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar
terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang. Perkara
ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan
masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam
kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa
sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang
perlu diberi perhatian oleh masyarakat.
Di
samping itu, dalam skop yang lebih besar, kepimpinan negara masa kini
sangat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin
sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin
yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga
hal ehwal dalaman negara kita.
Mari
kita selongkari sejarah lepas. Nama-nama pemimpin pelajar seperti (Tun)
Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim,
Ibrahim Ali, Husam Musa, Shabery Cheek, Abu Bakar Chik dan ramai lagi
pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, semuanya
pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar yang dilatih menggunakan
demokrasi kampus dan kini berdepan dengan demokrasi negara.
Oleh
yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi
juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam
pembangunan negara.
bersambung...
Lead The Changes! Ber-GM Lebih Baik!
0 comments:
Post a Comment