Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, February 26, 2012

Ada apa dengan debat ?

Debat antara Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek masih lagi hangat diperbincangkan. Masyarakat nyata teruja dengan pendekatan debat ini. Banyak perbincangan, wacana dan cakap-cakap yang terbit sebaik sahaja debat ini tamat.

Sungguh pun tajuknya seakan mirip kepada isu kedudukan politik dan sikap orang Cina, ternyata Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek berjaya menggerakkan tema ini jauh daripada sekadar itu.

Manakala pada sesi perdebatan Guan Eng dan Soi Lek ini, kita dengan jelas dapat melihat betapa MCA mengugut orang Cina agar menjauhi DAP kerana DAP dianggap tidak lebih dari perkakas PAS untuk menegakkan negara teokratik di Malaysia.


Bangsa Malaysia sudah lelah dengan perkauman dan kebencian. Kita harus berganjak kepada politik yang lebih matang, dan sebagaimana yang dikatakan oleh Guan Eng, menuju kepada politik dasar, polisi, bukan emosi.

Inilah tujuannya perdebatan, bukan untuk mencari kalah-menang yang total; tetapi menerbit dan merancakkan wacana, kerana pada akhirnya, masyarakatlah yang akan menentukan idea mana yang lebih baik.


Sebelum ini Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan yang amat mengelirukan: ‘debat bukan budaya kita’ sebagai usaha melindungi air muka Perdana Menteri yang malu alah apabila dijemput berdebat bersama Anwar Ibrahim.

Ternyata usaha Ahmad Maslan tersebut gagal. Kini, setelah masyarakat menyaksikan debat antara Guan Eng dan Soi Lek, mereka mahukan sesuatu yang lebih lagi kerana sedar, ada yang tidak cukup jika hanya berhenti pada tingkat ini.

Usaha untuk mengalihkan perhatian kepada perdebatan ini dengan mengapi-apikan propaganda Anwar sebagai pro-Israel juga tidak berjaya. Buktinya sangat mudah, Utusan sehingga kini menyiarkan banyak (bukan beragam) ‘pandangan’ untuk menafikan keperluan diadakan debat antara Najib-Anwar.

Terbaru, UMNO-BN seakan terdesak apabila menggunakan khidmat (pseudo) akademis untuk mengukuhkan pandangan bahawa masyarakat negara ini tidak perlu untuk membandingkan pandangan dan kerangka pembangunan antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang. Tiada kredit untuk acara begini.

Masyarakat hanya perlu percaya bahawa gagasan kerajaan kini adalah yang terbaik. Jangan soal-soal lagi.

”Saya sokong kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa debat ini membuang masa, lebih baik Perdana Menteri beri tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan jentera Barisan Nasional terutama menjelang pilihan raya umum ini,” ujar Tan Sri Ibrahim Abu Shah, bekas Naib Canselor UiTM yang dipetik daripada Utusan Malaysia bertarikh 22 Februari 2012.

Sudah tentu daripada kenyataan beliau ini, menunjukkan bahawa beliau tidak melihat debat sebahagian daripada usaha mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya.

Hujah Ibrahim bahawa debat ini hanya membuang masa, seolah-olah menghina ‘anugerah’ Malaysian Book of Record yang diperolehi oleh UiTM sendiri; debat Bahasa Melayu paling panjang dalam dunia, 211 jam tanpa henti! Malah rekod ini mengatasi rekod lamanya sendiri, 100 jam pada tahun 2006!

Apakah yang dimaksudkan dengan kematangan masyarakat ini? Bagaimana cara mengukurnya? Apa indikatornya?

Perdebatan dalam negara yang mengamalkan demokrasi sangat penting dalam membantu masyarakat membuat keputusan dan menentukan sikap politik mereka. Pada asasnya, sistem demokrasi mengandaikan masyarakat sebagai makluk rasional yang mampu untuk menentukan baik dan buruk jika diberikan makulmat yang cukup.

Tanpa maklumat yang cukup, demokrasi tidak lebih daripada prosedural pilihan raya sahaja.

Maka, sebab itu, perdebatan ini sangat mustahak. Seharusnya, Perdana Menteri menggunakan kesempatan ini untuk menafikan dakwaan pembangkang selama ini terhadap salah laku, penyelewengan dan ketidakcekapan pentadbirannya.

Mengapa Perdana Menteri tidak menjadikan platform debat ini sebagai medan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mampu melaksanakan agenda Buku Jingga mereka?

Mengapa Najib tidak melihat ini sebagai peluang terbaik untuk pihak kerajaan membidas segala kritikan pembangkang dan menawarkan pelan pembangunan yang jauh lebih baik.

Soalan terakhir yang paling sederhana, mengapa Perdana Menteri masih tidak sanggup berdebat meski pun Anwar rela memberi masa yang lebih kepada beliau?

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !