Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, February 25, 2012

Cabaran 'Nakhoda' baru DBP

MULAI 1 Feb 2012, Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat nakhoda baru bagi melayari bahtera bahasa dan sastera yang sekian lama mengalami risiko akan tenggelam kerana diterajui orang yang kurang mahir dan berani menempuh gelombang samudera politik yang tidak menentu

Tanda tanya pengganti Dato’ Tarmuzi Abd Aziz akhirnya terjawab. Penggantinya, Dr Awang Sariyan, seorang pejuang bahasa yang tegar dan pernah menjadi Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Beliau juga dilantik mengetuai Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) setelah kematian Dato’ Dr Hassan Ahmad.

Dr Awang bukanlah tokoh asing bagi pejuang bahasa dan sastera Melayu. Meskipun wataknya seorang yang lembah lembut, namun tekad perjuangannya untuk menegakkan bahasa Melayu tetap utuh dan mantap. Dengan latar bahasa dan sastera, serta pengalamannya, ia menjadi aset sangat berharga serta sandaran harapan yang membusut.


Kita mengharapkan bukan sahaja kepakaran seorang tokoh bahasa untuk memimpin organasasi penting ini, tetapi juga pemikiran serta pendiriannya yang bebas, berani, berjati diri untuk diterapkan dalam persoalan bahasa dan sastera kontemporari. Dan bagi Dr Awang sendiri tentu akan berusaha sedaya upaya agar harapan itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Namun, laluan yang akan ditempuhinya bukanlah mudah, kerana banyak onak, duri serta jalur lumpur yang mungkin memerangkap beliau.

Oleh kerana sistem kehidupan dan pentadbiran negara kita dipengaruhi sepenuhnya hagemoni politik, maka seringkali perjuangan terpaksa mengikut jalur politik penguasa. Justeru, pelantikan Dr Awang tentu sekali sudah dinilai perhitungan politik oleh Perdana Menteri, Dato’ Najib Razak atau Tan Sri Muhyiddin Yassin, TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Apa pun, itu hanya persepsi, kita harapkan pelantikan itu tidak dipengaruhi elemen politik, tetapi kerana kewibawaan dan kelayakan Dr Awang.

DBP di bawah kuasa Kementerian Pelajaran, maka segala urusan, arahan serta keputusannya hendaklah dipatuhi seperti yang diputuskan kementerian berkenaan. Mereka terpaksa akur kepada Perintah Am. Oleh kerana Kementerian Pelajaran diterajui orang politik, tidak dapat tidak pentadbiran DBP terpaksa akur dengan keputusan orang politik. Apabila pengaruh politik meresapi DBP, tentu sekali pengharapan yang menggunung tinggi tidak dapat dilaksanakan seperti diharapkan.

Cabaran utama Dr Awang ialah memperjuangkan agar kerajaan memberikan autonomi kepada DBP. Tanpa autonomi amat sukar bagi seorang Ketua Pengarah DBP membuat sebarang keputusan betapa pun berani dan bebasnya pemikiran beliau. Dengan bebas daripada pengaruh politik, tentu sekali pentadbiran DBP lebih bebas membuat keputusan demi kepentingan bahasa dan sastera Melayu.

Selama ini ramai Ketua Pengarah DBP tidak berani menongkah arus, terpaksa mengikut arus politik yang dijalurkan. Sebegini ramai Ketua Pengarah DBP, hanya Tan Sri Syed Nasir Ismail yang berani dan lantang memperjuangkan bahasa Melayu walaupun terpaksa berdepan ketuanya. Beliau berani bertindak demikian kerana beliau juga merupakan orang politik yang berpengaruh pada eranya.

Kita tidak pula mahu orang politik mengetuai organasasi budaya dan bahasa ini kerana bahayanya amat besar dan nyata sekali. Biarkan mereka yang profesional dan tidak terlibat secara langsung dalam politik mengetuai DBP. Namun, mereka perlu dibebaskan daripada hagemoni politik yang rakus.

DBP seharusnya diberi kebebasan untuk mentadbir atau diberi kuasa autonomi bagi memudahkan membuat keputusan dalam usaha mengembalikan kuasa dan kecermelangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ilmu.

Dengan autonomi, DBP tentu lebih berani memperjuangkan isu bahasa dan sastera, meskipun kadangkala di luar bidang kuasa mereka. Isu PPSMI seharusnya menjadi agenda utama DBP meskipun ia dalam bidang kuasa Kementerian Pelajaran.

Pencemaran penggunaan bahasa iklan dan bahasa pertuturan dalam drama tv dan filem boleh segera dikuatkuasakan oleh DBP tanpa campur tangan orang politik.

Langkah kedua ialah metransformasikan segera sikap seluruh kakitangannya daripada bersikap makan gaji kepada sikap yang lebih proaktif dan terlibat secara positif dalam gerakan bahasa dan sastera. Sekarang tidak ramai pengawai dan kakitangannya yang benar-benar menjiwai perjuangan bahasa, tidak seperti dalam era 60 dan 70-an apabila hampir semua pengawai dan kakitangannya terlibat secara langsung dalam gerakan bahasa dan sastera.

Ramai kakitangan DBP kini tidak kenal siapa pengarang dan penulis sastera, manakala penglibatan mereka dalam perkembangan sastera setakat memenuhi waktu berkerja sahaja.

Hubungan antara persatuan penulis dengan DBP seharusnya mendapat perhatian sewajarnya Dr Awang. DBP perlu menjadi pemangkin gerakan penulis dalam menyebarluaskan perkembangan bahasa dan sastera. DBP harus berusaha mendapatkan dana mencukupi bagi membiayai aktiviti persatuan penulis yang rata-rata sangat daif dan miskin.

Disarankan Dr Awang mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil persatuan penulis untuk memahami permasalahan mereka. Di samping itu, perbanyakkan lagi sayembara menulis cerpen, sajak atau novel.

Tentu sekali masalah paling rumit ialah menyelesaikan kemelut konsesi antara DBP dengan Dawama. Ini kerana perjanjian tersebut dipercayai diresapi pengaruh politik. Selagi tali politik menjadi pergantungan dalam usaha perkembangan bahasa dan sastera, selagi itulah jalan penyelesaiannya semakin rumit dan kalut. Kita percaya Dr Awang Sariyan mampu menghadapi kemelut ini dan mencari jalan penyelesaian yang tidak merugikan mana-mana pihak.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !