Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Friday, February 3, 2012

RM2j untuk IPTA bangun projek berimpak tinggi

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kementerian Pengajian Tinggi akan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM2 juta kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membangunkan Program Penerbitan Berimpak Tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) IPTA yang mengambil bahagian dalam menggalakkan penerbitan buku.

"Melalui program ini, universiti-universiti penyelidikan akan menyediakan mentor kepada IPTA bagi tujuan membangunkan program itu.

"Ini termasuk membangunkan dasar-dasar pentadbiran yang bersesuaian untuk menggalakkan penerbitan akademik berkualiti, bekerjasama di peringkat antarabangsa dan menjalankan pelbagai program khusus untuk meningkatkan kadar penerbitan di kalangan ahli akademik," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa merasmikan Ekspo Buku 1Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian akan sentiasa membantu memperhebatkan usaha untuk memperbanyakkan penerbitan buku sama ada berbentuk cetakan atau e-buku.

"Saya berharap penerbit-penerbit IPT sentiasa melipatgandakan usaha menambah jumlah tajuk yang diterbitkan setiap tahun.

"Jika sebelum ini tumpuan hanya diberikan kepada disiplin tertentu, sekarang tiba masa yang sesuai untuk kita seimbangkan agar merangkumi pelbagai genre dan memasarkan buku terbitan tempatan ke pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau juga menyarankan supaya dipertingkatkan usaha untuk memasarkan buku terbitan tempatan ke pasaran antarabangsa selain menambah lagi karya penterjemahan tempatan.

Katanya, penerbit IPT perlu berusaha meningkatkan mutu, penyerlahan dan penemuan masing-masing melalui beberapa inisiatif agar mudah diterima di dalam pangkalan data antarabangsa.

"Jurnal perlu diterbitkan pada masa ditetapkan supaya dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data dan ini tidak menjadi halangan sekiranya makalah di dalam Bahasa Melayu untuk diantarabangsakan," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !