Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, February 8, 2012

Awang Sariyan dilantik Ketua Pengarah DBP baru

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Awang Sariyan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah DBP pada 31 Januari yang lalu. Jawatan tersebut telah disandang oleh Datuk Termuzi sejak 1 Februari 2009.

DBP dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan satu Majlis Serahan Tugas Ketua Pengarah telah diadakan pada 31 Januari yang lalu di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Pengarah-pengarah Jabatan dan juga Ketua-ketua Bahagian DBP.

Biodata ringkas Dr Awang

Prof. Dr. Awang bin Sariyan dilahirkan pada 20 Oktober 1953 di Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor, Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian) serta Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1977.

Pada tahun 1978, beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai editor jurnal dan kemudiannya dinaikkan pangkat sehingga Pegawai Penyelidik Kanan (Bahasa). Awang juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya dari 1978 hingga 1982.

Pada tahun 1984, beliau memperoleh ijazah Sarjana Sastera dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya dan kemudian memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang falsafah pendidikan bahasa dari universiti yang sama.

Prof. Dr. Awang kemudian menyandang berbagai-bagai jawatan, menjadi guru bahasa Melayu dan Kertas Am, penyunting, dan kemudian Ketua Penyunting di FEP International; pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia); pensyarah dan Penolong Profesor di Jabatan Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam; dan Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dari 16 November 1999 hingga 15 November 2004, Dr. Awang memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari 16 November 2004 beliau dilantik menjadi Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Sejak 12 Januari 2007 beliau dilantik pula sebagai Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Mulai Januari 2008, beliau dilantik menjadi Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), iaitu program kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU.

Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu

Beliau merupakan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing. Foreign Studies University, Beijing (Januari 2008 – Julai 2011).
Beliau pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Dr Awang dilantik pelbagai jawatan luar

Beliau turut dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand). Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah.

Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Hadiah & anugerah diterima

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !