Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Wednesday, September 17, 2008

GMUKM serahkan memorandum tuntut PRK Adil dan Berdemokrasi






BANGI : 15 SEPTEMBER – Satu penghantaran memorandum menuntut Pilihanraya Kampus yang adil dan berdemokrasi telah diserahkan kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Aras 6, Bangunan Canselori.


Memorandum tersebut mengandungi 9 tuntutan daripada pihak Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mewakili pihak Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM). Antara 9 tuntutan GMUKM yang ingin pihak pentadbiran UKM laksanakan sebelum 29 September ini ialah :


  1. Tempat untuk membuang undi ditukar ke fakulti dan bukan lagi di kolej kediaman
  2. Menukarkan sistem peti undi tahun Tiga kepada sistem undi semua tahun
  3. Tarikh Pilihanraya Kampus ditukar daripada semester I kepada semester II
  4. Mewujudkan satu jawatankuasa pemantau pilihanraya yang benar-benar telus
  5. Mewujudkan kembali Malam Manifesto Calon
  6. Menghapuskan nombor siri pada kertas undi
  7. Proses pengumuman keputusan pengiraan undi hendaklah dijalankan mengikut undang-undang
  8. Larangan Kelab Aspirasi untuk terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus (PRK)
  9. Wakil calon hendaklah terdiri daripada pelajar fakulti sama dengan calon sahaja dan bukannya mengikut persamaan kolej


Secara faktanya pada PRK tahun lalu, terlalu banyak penyelewengan yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar yang terdiri daripada pengetua dan kakitangan kolej. Antaranya ialah kertas undi mengandungi nombor siri, kempen calon GMUKM dihalang daripada berkempen, susunan jarak meja tempat kira undi dengan wakil calon amat jauh dan sukar dilihat serta kewujudan Kelab Aspirasi di semua Kolej Kediaman yang mengugut dan mengertak mahasiswa terutamanya mahasiswa tahun satu untuk menyokong calon Aspirasi atau dibuang kolej sekiranya mereka enggan berbuat demikian.


Yang paling besar penyelewengan pada tahun lalu ialah keenganan pengetua untuk mengumumkan keputusan pengiraan undi di kawasan peti undi dan ini menimbulkan satu tanda persoalan yang besar kerana antara tempoh pengumuman melalui laman web yang dilakukan di laman web kira-kira jam 9.00 malam, semua calon dan wakil calon tidak mengetahui berapa jumlah undi yang mereka perolehi dan apa-apa penyelewengan serta pemanipulasian undi boleh berlaku. Hal ini ditambah dengan larangan calon dan wakil calon untuk memasuki Pusat Komputer, satu tempat untuk penjumlahan undi dan mahasiswa hanya memperolehi keputusan melalui internet sahaja. Ini adalah satu pencabulan serius terhadap demokrasi dan undang-undang pilihanraya kerana mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2007/ 2008 menyatakan bahawa Ketua Tempat Mengundi hendaklah mengumumkan secara rasmi keputusan pemilihan kepada calon-calon dan agen-agen calon.


Atas dasar dan fakta kes inilah menyebabkan GMUKM tampil kehadapan untuk menuntut perubahan besar ke arah suasana demokrasi kampus yang lebih baik dan efisien. Menurut Pengerusi GMUKM, Saudara Ahmad Farhan Yusoff yang menyatakan bahawa penghantaran memorandum ini adalah menifestasi kepada segala penyelewengan dan kebejatan dalam pilihanraya kampus tahun lalu yang menyebabkan kekalahan banyak kerusi sama ada kerusi fakulti dan kerusi umum kepada pihak Aspirasi. “ Kami menuntut agar pihak pengurusan Universiti agar lebih bertoleransi dalam merealisasikan tuntutan ini kerana ia adalah satu perkembangan yang baik terhadap semua pihak, terutamanya mahasiswa yang perlu belajar apa itu makna demokrasi tulen melalui pilihanraya yang adil dan berdemokrasi”,tegasnya.


Bagi jurucakap GMUKM merangkap Setiausaha Kerja Kepada Pengerusi GMUKM, Saudara Hishamuddin Ali, jelas bahawa Pilihanraya Kampus merupakan satu medan untuk belajar tentang sistem demokrasi sebenar oleh mahasiswa sebelum menjejak kaki keluar kepada dunia sebenar. “ PRK perlu dilihat oleh ramai pihak sebagai satu nilai yang amat penting kepada mahasiswa dan sekiranya berlakunya penyalahgunaan undang-undang PRK dan penyelewengan secara mutlak (corruptly absolute) oleh pihak berkenaan, maka sudah pasti akan lahir mahasiswa yang memberontak dan tidak keluar mengundi pada suatu hari nanti,”ujarnya yang juga merupakan pelajar undang-undang.


Memorandum tersebut telah berjaya diserahkan pada jam 10.30 pagi di Pejabat Naib Canselori. Salinan memorandum tersebut akan diedarkan kepada semua Majlis Senat Universiti, para Dekan Fakulti, Pengetua Kolej dan pensyarah-pensyarah serta media, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !