Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Tuesday, September 23, 2008

Sidang Media Penyerahan Memorandum Membantah Sikap Segelintir Pegawai Keselamatan





MEMORANDUM KEPADA SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM)

18 SEPTEMBER 2008


PELAJAR DIKASARI OLEH PEGAWAI KESELAMATAN UKM


Kami dari Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) bersama-sama dengan Mahasiswa / Mahasiswi ingin mengutarakan isu berkenaan salahguna kuasa oleh Pegawai Keselamatan dari Universiti Kebangasaan Malaysia (UKM).

Sebagai badan hak asasi manusia, kami berasa amat kesal dengan tindakan Pegawai Keselamatan ke atas pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat yang bernama Danaletchumi a/p Langaswaran, 23 tahun. Berikut adalah antara isu yang ingin diutarakan daripada kejadian ini:

  1. Salahguna kuasa oleh pegawai Keselamatan

  2. Menafikan Hak Berhimpun dan bersuara

  3. Bersikap kasar dan tidak profesional

Latar belakang kes


Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) merupakan satu gabungan persatuan-persatuan mahasiswa UKM yang memperjuangkan isu kebajikan pelajar. Gabungan ini baru ditubuhkan 3 minggu yang lepas. Untuk memberikan keterangan dan penjelasan kepada pelajar-pelajar tentang penubuhan GMUKM, maka satu sesi suai kenal dibuat di beberapa fakulti. Kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah semasa membuat sesi suai kenal selama ini, sehinggakan pada 11 September 2008 (Khamis), GMUKM telah didatangi pegawai keselamatan UKM dan berlaku kejadian berikut.

Testimoni Pengadu: Danaletchumi a/p Langaswaran


  1. Salahguna kuasa oleh pegawai Keselamatan – insiden kad matrik saya (A108981) dirampas.

  • Pada 11 September 2008 lebih kurang pukul 11.00 pagi – saya bersama dengan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) membuat sesi suai kenal untuk memperkenalkan GM ini kepada pelajar di UKM.

  • Kami telah pergi ke Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP). Semasa kami sampai ke tempat program kira-kira 10 orang pegawai keselamatan telah menunggu kami. Namun, kami teruskan program kami dengan memberikan penerangan tentang GM. Pada masa yang sama, wakil GM iaitu Khazman melakukan perbincangan dengan Pegawai Keselamatan untuk memberikan kami masa untuk meneruskan program kami. Pegawai Keselamatan hanya memberikan kami 5 minit dan selepas itu mereka berkeras mengarahkan kami menghentikan program kami.

  • Program kami mendapati sambutan amat menggalakkan daripada pelajar-pelajar. Seramai 20 hingga 30 orang telah mendengar ucapan kami. Semasa kami sedang menyampaikan ucapan, ia dirakamkan dan gambar kami diambil oleh pegawai Keselamatan.

  • Kira-kira 11.30 pagi kami telah tamatkan ucapan kami dan bergegas ke Fakulti lain.

  • 11.45pagi – kami telah pergi ke Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSSK) dan meneruskan program kami. Di fakulti ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah dan semuanya berjalan dengan lancar.

  • Kira-kira 12.10 tengah hari, kami menghabiskan program kami dan bergerak ke Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

  • 12.15 tengah hari – semasa saya sampai di FST, kira-kira 20 orang pegawai keselamatan tunggu kami di sana. Sebaik saja saya turun dari motorsikal saya, saya didatangi seorang lelaki yang menangkap gambar kami, semasa kami berada di Fakulti ekonomi.

  • Dia menanyakan kad matrik saya, untuk mengenalpasti samada saya adalah pelajar UKM atau tidak. Saya memberitahu dia yang saya sememangnya pelajar UKM, tetapi dia tidak percaya dan memberitahu saya bahawa dia menerima maklumat dari pihak atasan bahawa saya sudah habis belajar dan saya bukan pelajar UKM lagi. Saya menafikan dan menyatakan berkali-kali bahawa saya adalah pelajar UKM dan masih belajar . Lalu, saya menyuruh dia membuat pemeriksaan dengan fakulti saya.

  • Selepas itu, kira-kira 5 orang pegawai keselamatan mula kepung saya dan seorang pegawai keselamatan menyuruh saya pergi ke pejabat keselamatan UKM tanpa memberikan alasan yang munasabah. Saya memberitahu dia, yang saya tidak boleh pergi ke sana tanpa mendapat alasan yang kukuh.

  • Dia paksa saya untuk pergi ke pejabat keselamatan tetapi saya tetap dengan pendirian saya. Tiba-tiba saya didatangi seorang lelaki berbaju batik kuning dan tanya kad matrik saya. Saya hanya tunjuk kad matrik saya tetapi dia rampas kad matrik saya.

  • Pada masa yang sama saya juga mendapati bahawa seramai kira-kira 10 pegawai keselamatan sedang mengepung saya.

  • Saya berusaha untuk mendapatkan kad matrik tetapi saya dikasari dan mereka menolak saya dan hampir terjatuh ke bawah.

  • Pegawai keselamatan itu juga bercakap besar yang mereka ada hak untuk merampas kad matrik pelajar. Apabila saya menanyakan bagaimana hendak mendapatkan kad matrik saya, mereka menyuruh saya untuk mendapatkanya di pejabat keselamatan.

  • Pada ketika itu, saya berasa yang saya ditindas dan kuasa pegawai keselamatan itu disalah gunakan.

  • Mereka juga membuli saya disebabkan saya ini seorang pelajar perempuan. Mereka tolak saya semasa saya berusaha untuk mendapatkan kad matrik saya. Walaupun masa itu saya jerit mengatakan mereka tidak ada hak untuk merampas kad matrik saya, tetapi suara saya tidak didengari.



  1. Menafikan Hak Berhimpun dan bersuara

  • Pada pukul 1.00 petang – saya dan ahli GMUKM kira-kira 10 orang telah pergi ke pejabat keselamatan yang berada di luar Kampus UKM untuk mendapatkan semula kad matrik saya. Pegawai di sana menyuruh kami tunggu selama 30 minit.

  • Pada pukul 1.30 petang – ketua pegawai keselamatan dengan kira-kira 15 orang termasuk wakil Hal Ehwal Pelajar UKM (HEP), Cik Mas Ayu telah datang ke pejabat keselamatan.

  • Ketua Pegawai Keselamatan, telah cuba menakutkan kami dan mengugut kami bahawa ada seorang Pegawai Penyiasat persendirian dari Bukit Aman turut berada di Pejabat tersebut.

  • Saya menanyakan kepada Ketua pegawai keselamatan tersebut, “di manakah kad matrik saya?” Ketua itu menjawab dengan kasar bahawa kad matrik saya dirampas kerana saya telah memberikan ceramah.

  • Saya telah menafikan yang saya memberi ceramah. Tetapi, wakil HEP mencabar saya dan mengatakan mereka ada bukti bahawa saya ada memberikan ceramah.

  • Lalu, dia pun menunjukkan gambar saya dan juga ahli GMUKM lain yang diambil semasa program di Fakulti Ekonomi.


  • Wakil HEP bertanya saya kenapa saya berada di situ bersama dengan yang lain. Saya berkata bahawa saya mempunyai hak untuk berdiri di mana-mana tempat dan mendengar apa yang disampaikan oleh wakil-wakil dari GMUKM.

  1. Bersikap kasar dan tidak profesional

  • Saya masih bertanya kepada wakil HEP Cik Mas Ayu bilakah saya boleh mendapatkan balik kad matrik saya. Dia berkata bahawa dia tak tahu apa-apa dan menyuruh saya bertanya kepada ketua pegawai keselamatan.

  • Mereka langsung tidak ambil tahu tentang keadaan saya dan buatkan saya seperti orang yang telah membuat kesalahan yang besar. Saya mendapati ramai orang mengambil gambar kami.

  • Kami merasa kami di dalam penjara dan seperti disoal siasat.

  • Pada masa yang sama, ahli GMUKM, Farid dari Fakulti Kejuruteraan juga turut dikasari kerana dia mengambil gambar ketika Ketua Pagawai Keselamatan bercakap. Ketua pegawai keselamatan menarik tangan dan mengugut dia supaya jangan mengambil gambar.

  • Saya bertanya kepada ketua pegawai keselamatan bila saya boleh mendapatkan kad matrik saya dan dia menjawab tunggu untuk laporan. Saya tanya dia di mana laporan dan dia tidak menjawab apa-apa.

  • Dan dia bertanya saya kenapa banyak kawan berada di pejabat keselamatan sedangkan hanya kad matrik saya sahaja yang dirampas. Saya menjawab mereka semua adalah kawan saya. Dia tanya bagaimana pelajar dari fakulti berlainan boleh jadi kawan. Pada masa itu saya merasakan memang dia tidak berfikir secara logiknya. Saya tanya dia kenapa pelajar dari fakulti berlainan tidak boleh jadi kawan. Dia tidak menjawab soalan saya.

  • Selepas beberapa minit, dia menyuruh seorang lelaki untuk memulangkan kad matrik saya. Lelaki itu mengambil kad matrik saya dari poketnya dan memberikan kepada saya.

  • Kami pulang selepas mendapatkan kad matrik saya. Kira-kira 2.30 petang kami keluar dari pejabat keselamatan.

SUARAM memandang berat terhadap tuduhan salah guna kuasa oleh pihak Keselamatan ini. Kami berpendapat, ini adalah satu pencabulan hak asasi yang serius di mana hak untuk pelajar berhimpun dan bersuara dinafikan. Hak untuk berhimpun dan kebebasan bersuara jelas terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, rampasan Kad Matrik tanpa sebab, ugutan dan intimidasi yang dilakukan terhadap mereka adalah merupakan salah guna kuasa ini menunjukkan bahawa Pegawai Keselamatan tidak menjalankan tugas mereka dengan profesional.

Dengan ini, Kami menyeru agar pihak SUHAKAM:

  1. Menyiasat insiden tersebut dengan segera.

  1. Mengesyorkan kepada pihak UKM agar menjalankan siasatan terhadap pegawai keselamatan yang terlibat atas tuduhan di atas dan mengambil tindakan yang sewajarnya agar perkara ini tidak berulang.

  1. Mengesyorkan kepada pihak UKM agar hak asasi pelajar untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan dihormati.

  1. Mengesyorkan kepada Kerajaan, supaya menggubalkan undang-undang yang menjamin hak asasi pelajar untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan tanpa sebarang sekatan.


1 comments:

SESTER said...

Ini bukan pakguard namanya!

Ini GORILA.

adeka patut.

ini double standard!

malu UKM jer

Pak guard UKM KL lagi baik

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !