Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Saturday, August 1, 2009

ISA : Mahasiswa perlu buat pilihan

1 Ogos 2009 (esok) akan menyaksikan berlangsungnya himpunan Raksasa 100,000 Mansuhkan ISA yang dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) sempena 49 tahun akta tersebut. Mereka yang disertai ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak dari tiga lokasi iaitu kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara dengan berpakaian hitam dan merah. Juga pada hari yang sama, Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) turut menganjurkan himpunan pro ISA yang bergerak dari Dataran Merdeka, Pasar Seni dan juga Masjid Negara dengan berpakaian putih. Bagi golongan mahasiswa, adakah mereka akan menjadi pemerhati semata-mata atau terlibat sama ada dalam himpunan anti ISA atau pro ISA pada esok hari? Hanya kesedaran dan keberanian yang tinggi akan memungkinkan mahasiswa terlibat sama dalam isu ini. Dan tujuan penulisan ini adalah untuk memberikan hujahan intelektual bagi memilih untuk menyokong pemansuhan ISA atau mengekalkan akta itu.

Apabila menyebut sahaja perkataan ‘demokrasi’ dan ‘Malaysia’ dalam ayat yang sama, sudah pasti rakyat Malaysia akan dihadapkan dengan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang lebih dikenali dengan namanya dalam Bahasa Inggeris, iaitu Internal Security Act (ISA). Tetapi apakah sebenarnya ISA, mengapakah ia dikatakan bertentangan dengan hak demokratik, dan apakah isu-isu yang menggarisi pengamalannya di Malaysia? Dan apakah mahasiswa Maalaysia seramai 748,797 ini selamat dengan ISA ini? Penulis akan menganalisis apakah definisi akta ini, kepentingannya dan juga faktor penolakan akta ini dan yang paling penting adalah adakah mahasiswa terlepas daripada ISA ini.

Menurut Yang Berhormat Dr. Nasir Hashim, bekas tahanan ISA yang juga ADUN Kota Damansara menyatakan bahawa ISA merupakan sesuatu akta draconian lagi ketinggalan zaman yang sudah lama digunakan untuk “menutup kepincangan diri”. Ia merupakan akta pencegah yang diluluskan pada awal tahun 1960-an, semasa zaman Kecemasan, sebagai cara sementara untuk mendiamkan pergolakan sosial dan kebangkitan pihak Komunis. Mengikut sejarah, ISA yang merupakan Rang Undang-Undang ke-82 yang diwartakan oleh Parlimen Malaysia ini sebenarnya dirangka oleh R.H Hickling dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960 di Semenanjung Malaysia serta di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Selain ISA, terdapat tiga lagi undang-undang yang membenarkan kerajaan untuk menahan orang yang disyaki tanpa perlu dikaji semula oleh badan kehakiman dan tanpa perlu memfailkan dakwaan secara formal iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah), Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas), dan Akta Kediaman Terhad 1933. ISA dilihat seringkali mengganas apabila terdapat isu-isu besar di peringkat nasional terutamanya pada tahun 1987 akibat krisis pengharaman UMNO, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA manakala dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan telah dibatalkan lesen penerbitannya dalam Operasi Lalang (Weeding Operation) yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 itu.

Satu persoalan besar kepada mahasiswa bahawa adakah mereka selamat daripada ISA? Adakah hanya pemimpin parti politik, aktivis-aktivis NGO yang menentang pembinaan empangan Bakun di Sarawak, pembuat pasport palsu, ahli kumpulan yang dituduh mengamalkan ajaran sesat, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kumpulan Al-Arqam serta ajaran Syi’ah, wartawan dan aktivis kebebasan media, atau aktivis reformasi yang dituduh mahu mendapatkan bom sahaja dikenakan ISA? Adakah aktivis dan pemimpin pelajar selamat seperti kanak-kanak yang dikecualikan daripada ISA? Jawapannya ialah mahasiswa pada bila masa-masa turut tidak terlepas daripada akta zalim ini.

Buktinya dapat kita lihat jelas dalam kes ISA 7 yang melibatkan penangkapan di bawah ISA terhadap 7 orang mahasiswa yang menghadiri Perhimpunan Aman Mansuhkan ISA di hadapan Masjid Negara. Ketujuh-tujuh mahasiswa itu terdiri daripada 2 orang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta seorang penuntut daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mereka telah ditangkap di parkarangan Masjid Negara pada 8 Jun 2001 yang saban tahun dijadikan tarikh ini sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa Malaysia.

Pada tahun itu juga, Akta yang sama turut dikenakan kepada dua aktivis pelajar, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Mohamad Fuad Mohamad Ikhwan akibat kebakaran Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya. Ia menggemparkan seluruh Malaysia kerana selang beberapa hari kejadian kebakaran itu, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dijangka akan merasmikan sebuah majlis rasmi di Universiti terbabit. Sebelum itu, akta yang berusia 48 tahun ini turut menyaksikan aktivis pelajar dekad 80an seperti Hishamuddin Rais dan Anwar Ibrahim dihumban ke dalam jeriji besi ISA ini.

Jelas bahawa ISA tidak mengenal status dan pendidikan seseorang untuk dikecualikan daripada di`tahan’ di Kem Kamunting ini. Memang jelas bahawa akronim ISA yang diperkatakan ramai sebagai Ikut Suka Aku adalah satu kebenaran dan realiti apa yang berlaku. Tiada istilah selamat buat mahasiswa daripada ditangkap di bawah ISA kerana ISA memberi kuasa kepada pihak polis untuk menangkap tanpa waran dan menahan sehingga 60 hari, sesiapa sahaja yang bertindak “dengan cara yang boleh membahayakan keselamatan negara atau keadaan ekonomi Malaysia” sepertimana dalam Seksyen 73 ISA 1960. Dalam tempoh tahanan 60 hari yang pertama ini di pusat tahanan khas polis, orang yang disyaki tidak selalunya dibenarkan untuk mendapat khidmat peguam.

Manakala atas saranan lembaga penasihat, Menteri Keselamatan Dalam Negeri boleh membenarkan tempoh tahanan dilanjutkan sehingga dua tahun, dengan bilangan tempoh lanjut seterusnya yang tidak terhad selama 2 tahun setiap satu dan ini telah diperuntukkan dalam Seksyen 8(1) ISA 1960. Tahanan ISA dibenarkan merayu kepada lembaga penasihat untuk dikaji semula penahannya setiap enam bulan. Walaubagaimanapun, keputusan dan saranan oleh lembaga itu tidak dapat mempengaruhi keputusan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Sebab itulah kita dapat lihat ada tahanan ISA yang terpaksa meringkuk dalam penjara selama 8 tahun dan ada yang dilepaskan sebelum 2 tahun, tetapi dikenakan pula “syarat sekatan” yang menghadkan kebebasan untuk bercakap, berpersatuan dan perjalanan di dalam dan ke luar negeri. Ini jelas menggambarkan kuasa kehakiman (judicial power) terletak di tangan menteri, bukannya mahkamah atau hakim dan buat mahasiswa, tiada kekebalan buat anda daripada ditangkap di bawah akta ini.

Mahasiswa sememangnya amat mudah untuk ditangkap di bawah ISA disebabkan suara lantang mereka seringkali diambilkira oleh masyarakat berbanding ahli politik dan ini menggerunkan mana-mana pemerintah. Lihat peristiwa demontrasi Baling 1974, telah berjaya membuatkan pemerintah bertindak mengatasi masalah kelaparan di Baling. Juga peristiwa Teluk Gong atau Hamid Tuah pada tahun 1967, menyebabkan pihak kerajaan negeri terpaksa mengubah dasar polisi berkaitan undang-undang tanah. Ini jelas satu manifestasi bahawa suara mahasiswa adalah suara keramat serta mempunyai nilai keyakinan masyarakat (public confident value), sepertimana yang seringkali didendangkan oleh ramai pihak. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat inilah yang amat ditakuti oleh pemerintah. Sebab itulah Akta Universiti dan Kolej Universiti diwujudkan untuk menyekat suara ini pada tahun 1971 dan dipinda dengan lebih ketat (rigid) pada tahun 1975, setahun selepas tahun keemasan mahasiswa 1974. Apatah lagi demontrasi atau perhimpunan awam, sudah pasti mahasiswa menjadi sasaran pihak pemerintah untuk dikurung dalam sel ISA ini. Tetapi adakah mahasiswa akan takut dengan pencabulan hak asasi ini?

Hanya satu jalan yang perlu diambil oleh mahasiswa bagi menyekat idealisme dan ambisi hak mereka daripada terus tergugat iaitu bersama-sama gelombang pemansuhan ISA dan bukannya menyokong ISA. Inilah caranya dan tiada jalan lain yang ada bagi menjaga hak asasi mahasiswa. Memang mahasiswa pada hari ini takut untuk menyuarakan ketegasan mereka melawan akta ini walhal menteri-menteri dalam kerajaan sendiri serta bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menyuarakan pandangan menyokong pemansuhan ISA ini. Kita tentu masih kenyataan ugutan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Seri M Kayveas terhadap isu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) hinggakan sanggup membawa PPP keluar daripada Barisan Nasional. Juga sebelum ini pemimpin Barisan Nasional sendiri seperti Datuk Seri Rais Yatim, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta bekas menteri yang menjaga undang-undang sendiri, Datuk Zaid Ibrahim senada dengan pemimpin Pakatan Rakyat untuk memansuhkan akta yang sudah tidak relevan ini. Persoalan menarik yang perlu mahasiswa fikirkan ialah kesan di sebalik pengekalan akta yang diciptakan oleh penjajah ini. Kesan besar sekiranya ISA tidak dimansuhkan ialah mahasiswa akan dipandang sebagai tidak berperikemanusian dan tidak memiliki moral yang tinggi dalam menghalang sesebuah undang-undang yang zalim ke atas rakyat jelata. Tidak usah bercakap soal personaliti unggul sekiranya akta zalim yang diwartakan di hadapan mata ini dipandang enteng dan sipi oleh mahasiswa.

Selain itu, mahasiswa yang merupakan pemimpin hari esok (tomorrow in leader) perlu bersikap realistik dan bukannya retorik dalam membina keyakinan masyarakat terhadap mahasiswa pada hari ini. Berilah satu pengharapan baru kepada masyarakat di luar sana yang inginkan satu keamanan daripada dibelenggu sebuah undang-undang yang sentiasa mencari mangsanya setiap hari. Dengan membina satu kesepaduan, mobilasi mahasiswa perlu digerakkan bagi mendesak pemansuhan akta ini dan seterusnya menggubal rang undang-undang lain yang dapat menghalang pihak tertuduh daripada memanipulasikan mahkamah dan memudahkan tugas pendakwaan melalui pengumpulan bukti. Definisi bagi perkara-perkara yang mengancam keselamatan Negara pula haruslah digariskan secara jelas, dan bukannya diserahkan pendefinisian tersebut hanya kepada pandangan seorang Menteri. Bahkan ISA sudah tidak relevan kerana sudah ada akta-akta yang menjaga keselamatan negara dalam soal jenayah dan hasutan perkauman seperti Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Hasutan 1948 dan banyak lagi akta yang telah diluluskan oleh parlimen Negara kita.

Mahasiswa hari ini perlu sedar bahawa hak asasi mereka dalam soal bercakap, berhimpun dan bepersatuan perlu ditegakkan dan inilah yang perlu mereka laksanakan sekarang. Amnesty International, sebuah organisasi pendukung hak asasi manusia, sejak tahun 1970an lagi telah mengecam pencabulan hak-hak asasi yang berlaku di Malaysia kesan daripada pelaksanaan ISA ini sendiri. Langkah permulaannya, gesalah agar AUKU dan ISA serta akta zalim lain seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ordinan Darurat, Akta Fitnah 1957 , Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan. Biarlah soal ini jadi keutamaan untuk membina satu daya kepimpinan bagi memimpin negara kelak tetapi soal pengajian tidak juga wajar diletakkan di nombor dua dalam kamus mahasiswa. Biarlah ia seiring sesuai dengan kata-kata Prof Ungku Aziz yang menyatakan biarlah mahasiswa terus mencabar asalkan mereka terus terpelajar. Inilah yang dikatakan personaliti yang unggul dan diidam-idamkan oleh majikan kelak dan masyarakat pada hari ini.

Mahasiswa tidak perlu gentar dalam membicarakan soal ISA ini kerana Perlembagaan kita telah memberikan lesen besar kepada kita untuk menyentuh tentang isu taboo bagi mahasiswa ini. Kita seringkali dihidangkan dengan kes tahanan ISA yang dilepaskan daripada akta ini dan dikatakan mempunyai niat jahat atau mala fide penangkapannya seperti kes Abdul Ghani bin Haroon, YB N Gobalakrishnan,serta Ezam Mohd Nor. Malahan terdapat kes tahanan ISA yang mendapat pampasan berjuta-juta ringgit seperti bekas tahanan ISA, Malek Hussin yang berjaya mendapat pampasan RM 2.5 juta oleh mahkamah pada tahun 2007 lalu akibat penyeksaan salah yang dilakukan oleh pengawai polis di dalam ISA. Hal ini membuktikan bahawa badan kehakiman cuba melepaskan diri daripada tindakan badan perundangan yang meluluskan undang-undang ISA ini dengan memberikan keadilan kepada mangsa tahanan ISA.
Mahasiswa bukanlah memperjudikan keselamatan negara apabila mendesak pemansuhan ISA ini tetapi lebih kepada pencarian undang-undang alternatif yang boleh memberikan keadilan kepada semua pihak. Pakar falsafah barat, John Austin pernah menyatakan bahawa satu undang-undang yang baik dan berkesan ialah apabila ia dijadikan undang-undang negara, setiap rakyat patuh kepada Undang-undang tersebut dan ia memberi keadilan kepada seluruh rakyat yang tertakluk kepada undang-undang tersebut.

Justeru itu, kepada mahasiswa yang berada di seluruh pelusuk tanahair terutamanya di UKM ini, peranan kita sebagai golongan terpelajar dan neutral daripada politik kepartian amat diperlukan dalam mendesak pemansuhan Akta ini. Cukuplah rakyat bawahan mengalami satu kacau ganggu berterusan dalam tempoh 49 tahun ini. ISA jelas tidak mengenal siapa di hadapannya dan mahasiswa juga tidak terkecuali akan menjadi mangsa sekiranya ISA tidak dimansuhkan pada hari ini. Memansuhkan ISA bukanlah bererti mahasiswa cuba terlibat dalam politik dan melawan kerajaan pada hari ini. Memansuhkan ISA bagi mahasiswa adalah ingin mewujudkan masyarakat yang aman dan pada masa sama, menjunjung ketertinggian perlembagaan (supremacy of constitution) dan kedaulatan undang-undang (the rule of law) agar negara kita terus dihormati masyarakat antarabangsa terutamanya badan-badan hak asasi antarabangsa. Persoalan cepu mas buat mahasiswa semua, adakah anda sudah bersedia untuk berpencak isu kemanusiaan ini dan turun ke gelanggang jalanan esok? Kalau belum, anda sebenarnya sedang menggali kubur untuk mematikan hak asasi di negara ini dan membiarkan generasi akan datang terus terpenjara dengan akta zalim ini. Ayuh ramai-ramai turun ke himpunan mansuhkan ISA esok, biarlah bahasa jalanan mengajar sang pemerintah apa itu erti demokrasi dan kebebasan daripada dizalimi. Dan kepada para penyokong akta zalim ISA, biarkan mereka dengan pemikiran jumud mereka ibarat si luncai terjun dengan labu-labunya. Kepada mahasiswa, sarungkanlan baju hitam atau merah demi konsep 1 Malaysia, satu kesamarataan daripada penindasan dan rakyat didahulukan, pencapaian perlu diutamakan.

Pengerusi GMUKM 2009

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !