Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan satu detik bersejarah yang telah dicatatkan di dalam buku sejarah negara kita yang bernama Malaysia ini, dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.
Angka 31081957 telah menjadi angka keramat bagi rakyat Malaysia. Pada detik dan ketika itulah, rakyat Malaysia menyambut hari kemenangan dengan pengembalian kuasa pemerintahan negara kepada rakyat yang berbilang kaum ini.
Apakah erti merdeka? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan bahawa merdeka bermaksud " (merdéka) bebas (drpd penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (drpd tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pd yg lain: Malaysia ialah sebuah negara yg ~ dan berdaulat; besok ia jadi seorang awam yg ~ dan tidak lagi menjadi perajurit".Maksudnya di sini jelas bahawa merdeka erti bebas daripada kongkongan mana-mana pihak terutamanya daripada penjajah sama ada berbentuk fizikal mahupun rohaniah. Tetapi jangan salah tafsirkan istilah "Kita Bebas Melakukan Apa sahaja" dengan melakukan perbuatan seperti menfitnah, mengugut, menipu dan bermacam-macam lagi perkara yang membelakangkan undang-undang dan agama.
Juga bukan bermakna kita bebas menyambutnya dengan hiburan mahupun konsert ambang meredeka yang jelas lari daripada roh kemerdekaan dan ia juga bukanlah satu daripada sambutan Merdeka yang disambut oleh nenek moyang kita sewaktu ambang merdeka 31 Ogos 1957 satu ketika dahulu.
Dan bagi umat islam yang sedang berada dalam bulan ramadhan yang mulia ini, sebaik-baiknya jadikan malam kemenangan kita ini lebih meriah dengan zikir-zikir, doa-doa kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas apa yang kita perolehi pada hari ini kerana tanpa Kuasa Allah tuhan seru sekian alam, mustahil negara kita dapat memperoleh kemerdekaan daripada Penjajah British. Jadilah seorang yang memiliki kemerdekaan yang hakiki iaitu terjemahan unggul ke atas pembinaan keperibadian diri kita sebagai seorang yang ‘bersih’ apabila habis ramadhan kelak. Kepada bukan islam pula, jelas ajaran dan kepercayaan mereka amat menitik beratkan persoalan moral dan nilai yang baik, memungkinkan mereka turut menyambut hari kemerdekaan dengan cara yang berhemah dan bersopan.
Mahasiswa yang dihormati sekalian,
Fahamilah dan selamilah erti dan roh kemerdekaan yang sebenar kerana merdeka bukanlah sekadar memasang bendera di atas kenderaan, kolej atau rumah, percikan bunga api yang mewarnai udara bukan maksud sebenar merdeka sebaliknya hayati dan insafilah apa hikmah yang tersirat di sebalik kemerdekaan negara. Merdeka tahun ini sepatutnya anda semua bertekad untuk menentukan apa sumbangan anda kepada negara jangan menyoal apa sumbangan negara kepada anda.
Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 52 ini, saya ingin menyingkap secara ringkas idealisme kebebasan Sun Yat Sen, dan juga memetik pidato presiden Sukarno yang menjanjikan kemerdekaan Indonesia “semua untuk semua” , bukan sekadar melayani tuntutan kelompok kecil.
Saya ingin juga memetik ucapan ‘Tryst with Destiny’ yang disampaikan oleh Jawaharlal Nehru, yang menyatakan bahawa “We have to build the noble mansion of free India where all her children may dwell. The appointed day has come-the day appointed by destiny-and India stands forth again, after long slumber and struggle, awake, vital, free and independent.”
Juga pidato Muhammad Ali Jinnah, pengasas negara Pakistan di Constituent Assembly 1947 yang menganggap kemerdekaan negaranya muncul dari gelojak rakyat, satu “cyclonic revolution” tetapi memberi amaran agar pasukan keselamatan bebas tidak terheret dengan politik dan pemimpin menghindari dari rasuah.
Malah dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah menekankan soal kebebasan, keadilan dan hak semua rakyat. Dan bagi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), kami yakin bahawa kemerdekaan sebenar mahasiswa UKM yang bebas daripada kezaliman Aspirasi akan muncul jua disebabbkan gelombang perubahan dan harapan akan menyinari kampus UKM ini tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa dan melaksanakan segala tindakan ke arah merealisasikan harapan mahasiswa yang jelas telah ‘dijajah’ dengan kepimpinan lemah Aspirasi sejak 2003 lalu.
Saya yakin semangat dan muafakat Gabungan Mahasiswa yang jelas dan tegas akan mewujudkan perpaduan sebenar di dalam UKM ini sepertimana yang telah digariskan oleh Rukun Negara kita. GMUKM pada masa yang sama terus menolak politik perkauman yang sudah tidak relevan tetapi masih tetap menerima peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu-Bumiputra di samping menjamin hak semua rakyat.
Bersempena hari yang ulung ini, ayuh kita sebagai mahasiswa Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain untuk sama-sama kita zahirkan kecintaan kita terhadap Malaysia. Sama-samalah kita mempertahankan kemerdekaan kita kerana 'Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah lebih senang daripada mempertahankanya' dan jagalah negara ini dengan sebaik mungkin.
Di kesempatan ini, saya turut menyeru anda semua untuk bersama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang; di kolej atau rumah, di kenderaan dan di fakulti anda. Binalah sebuah harapan baru untuk semua. Bebaskan diri kita semua daripada kelemahan dan ketidakyakinan kepimpinan UKM yang ada pada hari ini.
Kita bersatu untuk berubah. Selamat meraikan Hari Kemerdekaan Kali Ke 52!
Dirgahayu Malaysia!
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hisyamuddin Che Ali
Pengerusi GMUKM 2009
0 comments:
Post a Comment