Putrajaya : Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Mej. Jan. (B) Dato’ Jamil Khir Baharom agar menyelesaikan dengan baik isu Konsert Michael Learns To Rock (MLTR) dan isu sebatan ke atas Kartika Sri Dewi Shukarnor.
Memorandum itu diserahkan oleh MPMN dan GAMIS kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri terbabit di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri parcel D, Putrajaya kira-kira jam 4.00 petang.
Konsert Michael Learns To Rock yang dijangka diadakan pada 5 September ini bersamaan 15 Ramadhan dilihat mencemarkan bulan ramadhan dan juga isu kontroversi melibatkan Kartika, wanita yang dijatuhi hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan meminum arak.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS),Saudara Mohd. Idris Mohd Yusof Al-Hafiz berkata tindakan senyap pihak Kementrian yang menjaga agama ini boleh menjadi barah yang mengundang ancaman kepada umat islam di negara ini.
“Sehingga hari ini, kita masih menanti jawapan yang tegas daripada Menteri ( Datuk Jamil Khir) itu sendiri berkaitan isu ini tetapi pihak kementrian yang menjaga agama islam hanya diam membisu seperti isu-isu agama islam sebelum ini”, ujarnya merujuk kepada isu status agama anak di bawah umur 18 tahun yang masih dipertikaikan sehingga ke hari ini.
Menurut Idris yang juga Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) lagi bahawa kedua-dua isu ini jika tidak ditangani dengan baik, akan menghasilkan satu gelombang mahasiswa yang mampu menjatuhkan kerajaan pada hari ini.
“Memorandum ini adalah hasil terjemahan ketidakpuasan hati kami dan kepada pihak Menteri yang menjaga agama ini, mereka perlu mengambil serius segala teguran dan desakan mahasiswa demi kepentingan umat islam yang semakin tercabar hari ini”, tegasnya.
Dalam pada itu, pimpinan MPMN yang menggerakkan kempen memorandum itu turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut. Malangnya walaupun menteri ada di pejabat ketika peneyrahan memorandum itu, tetapi Setiausaha Sulit menteri terbabit tidak membenarkan wakil mahasiswa untuk menyerahkan memorandum terbabit.
Menurut Pengerusi MPMN, Saudara Mohd Ridhuan Mohammad dalam kenyataannya meminta agar Datuk Khir Johari meletak jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal islam.
“ Mahasiswa merasakan kerajaan khususnya Kementrian yang dipimpin oleh Dato’ Jamil Khir sudah tidak serius dalam menguruskan amanah rakyat khususnya berkaitan dengan islam dan mahasiswa mendesak beliau meletak jawatan dengan segera atas kegagalan ini,” ujarnya.
Beliau turut menempelak sikap Menteri yang enggan menerima sendiri memorandum itu dan hanya mewakilkan kepada Setiausahanya sahaja untuk menerima bantahan daripada mahasiswa ini.
Setelah menerima memorandum tersebut pihak Kementrian berjanji akan menyelesaikan kedua-dua isu tersebut dan meminta mahasiswa bertenang serta sabar dalam menunggu hasil keputusan mesyuarat melibatkan kedua-dua isu.
“ Kami masih menunggu jawapan daripada menteri terbabit dan jika tiada respon daripada beliau, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong”, ujarnya lagi yang merupakan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).
Tambahnya lagi bahawa media di negara ini perlu menghentikan isu Kartika ini agar ia tidak menjadi polemik dan mencemarkan nama baik islam di kacamata masyarakat.
Bagi Timbalan Pengerusi MPMN merangkap Ahli MPP UKM, Saudara Hisyamuddin Che Ali turut melahirkan nada kesal dengan sikap menteri yang tidak konsisten dalam mempertahankan agama islam.
“ Saya sebenarnya melihat dua isu ini dalam dua aspek iaitu isu penghinaan ke atas islam dan juga pencabulan serius terhadap undang-undang syariah”
“ Mengapa Perdana Menteri, Menteri, Majlis Peguam dan NGO seperti Sister in Islam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka-mereka yang berterusan menghina agama islam dan juga institusi kehakiman itu sendiri,” ujarnya sambil mencadangkan agar mereka ini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
Beliau dalam pada itu menggesa ahli-ahli parlimen untuk bersikap terbuka dan mengiktiraf agama islam mengikut al-Quran dan As-Sunnah dengan meminda beberapa akta yang berkaitan.
“ Sudah sampai masanya ahli-ahli Parlimen terutamanya melayu islam bersatu dan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984 yang jelas merendahkan martabat islam dengan hukuman 356 (3 tahun penjara,denda 5 ribu ringgit dan 6 kali sebatan) itu,” ujarnya lagi.
Tegasnya lagi bahawa adalah hak asasi orang islam untuk melihat konsert MLTR itu dibatalkan dan pada masa yang sama membiarkan Kartika memilih hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah Syariah Kuantan tanpa tekanan mana-mana pihak.
Dalam memorandum yang diserahkan itu, mahasiswa telah mendesak agar Konsert Michael Learns To Rock (MLTR) dibatalkan serta merta dan juga mempercepatkan tindakan menyelesaikan isu Kartika dengan berhemah dan tegas bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif berterusan kepada islam itu sendiri.
Turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Saudara Faridzul Nasruddin, Presiden Kelab Maa’ruf UIA dan beberapa orang wakil mahasiswa.
0 comments:
Post a Comment