21 Jan 10- Bahang pilihanraya kampus yang semakin hampir kian membara apabila berlangsungnya Diskusi Rabu Malam (DISRAMA) anjuran MPP Fakulti Undang-undang dengan tajuknya Mahasiswa & Pilihanraya Kampus.
"Saya berbesar hati dengan kehadiran rakan-rakan mahasiswa dari pelbagai fakulti yang sanggup hadir ke diskusi ini untuk sama-sama melontarkan hujah yang mampu membuka minda mahasiswa", kata saudara Mohd Fikah B Sanusi selaku penganjur bersama-sama saudara Phoon Kar Liang.
DISRAMA ini telah menonjolkan tiga orang ahli panelis yang hebat iaitu terdiri daripada Saudara Mohammad Tawfik bin Yaakob selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Sains Politik, Saudara Mohd Hazwan bin Hamidun merangkap Timbalan Presiden PERUNDANG serta Saudara Mohd Hafiz bin Abdul Razak, NaibPresiden PMFPI.
Diskusi ini berjalan dengan jayanya apabila mendapat respon yang sangat memberangsangkan daripada mahasiswa dan mahasiswi yang hadir pada malam tersebut. Pelbagai soalan dilontarkan oleh mahasiswa yang amat jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya mereka mahukan perubahan dari segi tampuk pimpinan PMUKM. Bangkitnya mahasiswi juga pada malam tersebut yang lantang menyampaikan pandangan dan hujah mereka membuktikan siswi juga peka akan ketidaktelusan yang berlaku sepanjang pilihan raya kampus yang lepas.
Saudara Tawfik yang mantap dengan hujah-hujahnya yang ringkas tetapi padat menekankan mengenai kesedaran mahasiswa yang perlu bertindak sewajarnya sewaktu pilihanraya kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. Beliau berkata, sudah tiba masanya mahasiswa bijak memilih pemimpin yang akan memperjuangkan hak-hak dan kebajikan rakyatnya bukan pemimpin yang hanya mengikut sistem dan menjadi boneka universiti semata-mata. Bak kata beliau, pemimpin pelajar yang tidak punya ideologi sendiri ini adalah "pemimpin pelajar yang berjiwa hamba".
Saudara Hazwan juga bangkit dengan bait-bait hujahnya yang turut menyeru mahasiswa agar memilih pemimpin yang boleh melaksanakan kerja bukan kerana atas dasar ideologi politik kampus sahaja. Walaupun beliau kurang bersetuju dengan ketidaktelusan yang berlaku sepanjang menghampiri detik-detik pilihan raya kampus seperti yang digembar-gemburkan oleh mahasiswa khususnya pelajar tahun satu dan dua yang mendakwa mereka diprovok dan diugut untuk dibuang kolej sekiranya mengundi pihak GMUKM, namun beliau tetap berpendapat bahawa mahasiswa mempunyai hak kebebasan bersuara. Mereka bertanggungjawab untuk menilai siapakah yang bakal menerajui tampuk pimpinan PMUKM yang seterusnya.
Diskusi menjadi bertambah menarik dengan berdirinya ahli panelis ke tiga yang sentiasa kelihatan berkeyakinan iaitu saudara Hafiz. Beliau banyak melontarkan kata-kata yang membuatkan mahasiswa berfikir ke hadapan agar tidak tersilap langkah dalam memilih sesuatu pemimpin. Beliau juga menjelaskan akan realiti yang berlaku sepanjang kepimpinan yang lepas dan berharap agar peristiwa lama tidak berulang dan kebajikan mahasiswa tidak dipandang enteng sahaja.
Kini segalanya terletak di tangan mahasiswa sekalian. Andalah yang akan menentukan pimpinan UKM akan datang. Inilah masanya untuk kita melakukan perubahan.
Bersama Memimpin Perubahan
0 comments:
Post a Comment