Bangi- Kira-kira 60 orang penggerak mahupun penyokong Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) telah berhimpun di parkin motor di hadapan FPI pada jam 6.00 petang semalam.
Tujuan himpunan mahasiswa ini diadakan adalah untuk menyahut seruan dan saranan daripada Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk mengadakan sudut pidato atau 'speaker corner'.
Menurut beliau, mahasiswa bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan dan kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.
Sudut pidato semalam ini diadakan untuk meluahkan pendapat atau pandangan mengenai isu yang hangat diperkatakan warga UKM kini iaitu mengenai pilihan raya kampus yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Majlis ini dipengerusikan oleh saudara Mohd Ikram dari tahun 1 dari Fakulti Pengajian Islam. Saudara Ahmad Ammar Ishak, wakil dari Gabungan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), saudara Phoon Kar Liang dari Kesatuan Anak Muda Independen (KAMI),saudara Affandi Abdul Rahman pengerusi MAMPU dan saudari Rabiatul Adawiyah bagi pihak siswi adalah antara yang lantang berpidato memberikan pandangan dan kata-kata semangat kepada mahasiswa yang hadir.
Selain itu, GMUKM turut menampilkan Mohd Hafiz Abdul Razak sebagai wakil calon GMUKM untuk menyampaikan pidatonya.
Himpunan ini dihiasi dengan warna rasmi GMUKM iaitu warna ungu serta barangan-barangan teknikal seperti bendera dan kain rentang yang tertulis serangkap pantun iaitu :
WARNA UNGU MENJADI PILIHAN
SEBAGAI WADAH DALAM PERJUANGAN
FALSAFAH, KEILMUAN SERTA KEBAJIKAN
GM MEMIMPIN UKM TERKEHADAPANSetelah selesai sesi pidato, semua mahasiswa yang terlibat menyanyikan lagu rasmi Pro Mahasiswa Nasional dengan penuh bertenaga dan bersemangat. Kemudian majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudara Azizan Anwar daripada Fakulti Pengajian Islam.
GMUKM mengucapkan terima kasih kepada para pegawai keselamatan yang turut serta bersama kami kerana menjalankan tugas dengan baik.
0 comments:
Post a Comment