KUALA LUMPUR, 31 Jan: Keputusan pilihan raya kampus (PRK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih belum rasmi ekoran bantahan yang dibuat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM).
Pimpinan GMUKM Jumaat lalu, secara aman menghantar surat rayuan beserta duit bantahan kepada pihak pentadbiran universiti kerana mendakwa berlaku penyelewengan yang sangat ketara ketika proses PRK kali ini.
Dakwaan ini termasuk jumlah undi yang diumumkan oleh setiap pengetua kolej tidak sama dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan dari pusat penjumlahan undi.
Malah, sepanjang proses pilihanraya kampus ini dijalankan, telah berlakunya 'double standard' pihak universiti terhadap Pro Mahasiwa (Pro-M) untuk berkempen.
Ekoran bantahan itu, pihak pentadbiran melanjutkan tempoh 48 jam yang diberikan GMUKM sehingga esok untuk mengumumkan keputusan rasmi.
Pihak pengurus pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga bersetuju untuk bersidang bersama-sama pengetua kolej dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) esok sebelum mengumumkan keputusan rasmi.
Namun GMUKM mempertikai keperluan JAKSA menyertai sidang berkenaan sedangkan mereka tidak terlibat dalam menguruskan pemilihan tersebut.
Turut dikesalkan GMUKM mengenai tindakan pihak pentadbiran yang sengaja melewatkan prosedur rayuan dan tidak membenarkan pimpinan GMUKM untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor (TNC) bagi menyelesaikan kes ini secara aman.
Sehubungan itu, GMUKM berharap persidangan itu menemui satu penyelesaian yang adil terhadap Pro-M.
Jumaat lalu, GMUKM selepas solat Jumaat mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat kampus mengenai situasi PRK kali ini secara aman. Namun, apa yang dikesalkan mereka tindakan pihak pentadbiran memanggil polis beserta Pasukan Polis Persekutuan (FRU) yang dilihat sengaja menimbulkan suasana tegang dan menakut-nakutkan mahasiswa.
Dilaporkan pihak FRU telah bersedia di luar masjid UKM semasa solat Jumaat. Mereka juga melakukan kekasaran dengan merempuh dan mencederakan mahasiswa yang sedang memberikan penerangan.
Dua mahasiswa ditangkap sewaktu sesi penerangan itu namun dilepaskan 30 minit kemudian dan diarahkan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang itu untuk memberikan keterangan.
PRK Khamis lalu menyaksikan Pro-M tewas di tangan Pro-Aspirasi. Mereka mendapat 15 kerusi berbanding 19 yang dimenangi pro-A manakala bebas mendapat 1 kerusi. Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.
2018华人农历新年,国大华裔生将享有额外2天特假!
6 years ago
0 comments:
Post a Comment