Majlis Kepimpinan Utama GMUKM

Kompilasi Kejayaan Manifesto

Provinsi Ungu [Versi Online]

Sunday, January 10, 2010

Sudut Pidato Lambang Keintelektualan Mahasiswa

Merujuk kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam untuk membawa semula sudut pidato atau ‘speaker’s corner’ di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan akan dilaksanakan pada tahun ini dan berikutnya, selepas pindaan AUKU pada Februari tahun lalu.

GMUKM berbesar hati menyambut saranan KPT setelah sudut pidato ini dipandang hambar hampir 30 tahun lamanya demi membangkitkan semula semangat mahasiswa yang kian layu dek serangan hedonisme (hiburan) dan budaya 'couple' tanpa ambil peduli dunia luar. Mahasiswa seharusnya cakna dengan isu semasa serta turun ke lapangan masyarakat bukan turut serta menyumbang kepada barah gejala sosial dan jenayah.

Sebagai golongan terpelajar tugas mendidik dan menjadi contoh kepada rakyat khususnya golongan remaja perlu dipikul di bahu mahasiswa sekalipun berucap di tengah khalayak umum. Inilah yang mencerminkan keperibadian dan kredibiliti mahasiswa bukan pelajar yang sinonim dengan 'cikgu suap ilmu' dan 'aku tidak pedulisme' di bangku sekolah.


Sejajar dengan matlamat kami, GMUKM menyarankan agar kesemua pengetua kolej dan felo di UKM mahupun universiti lain supaya lebih matang mentaati saranan KPT dan mencontohi pengetua KTSN yang membenarkan diadakan sudut pidato dan juga malam manifesto supaya budaya ilmu ini tidak lagi mendapat tempat paling tercorot dalam sistem ko-kurikulum mahasiswa.

Lantaran itu, GMUKM mengajak agar kita sama-sama mewujudkan budaya profesionalisme dan bertolak ansur tanpa pilih kasih oleh pihak atasan. UKM Bangi sebagai contoh utama, mahasiswa teramat sesak dan tertekan apabila tidak dibenarkan berkempen secara aman di kolej-kolej khususnya di KBH walaupun akta kempen secara rasmi dibenarkan pada waktu tersebut.

Kita tidak mahu ada unsur penipuan dan ketidakadilan sepanjang musim pilihan raya kampus dengan menggunakan kuasa pengetua atau pihak tertentu. Tiada lagi "kempen haram" dan sekatan yang tidak rasional ke atas mahasiswa menampakkan kebudak-budakkan dan seolah-olah takut dengan team GMUKM. Biarlah GMUKM dan Aspirasi BERTANDING DI ATAS PADANG YANG RATA.

GMUKM bukanlah pembangkang. Kami adalah mahasiswa yang sanggup berkorban untuk menjadi kuli kepada mahasiswa demi perjuangan yang telah kami sepakati bersama (Intelektual, Kebajikan dan Falsafah Universiti). Sebagai agen check and balance, kami ingin bersuara secara profesional juga mengkritik secara positif dan membina, dan sedaya upaya membentuk gerakan mahasiswa berintelektual jurubicara kepada masyarakat sekeliling, seterusnya menerajui tampuk pemerintahan ke arah Malaysia berwawasan. Bakat sebenar mahasiswa perlu diserlahkan!

Jika suara kami disekat, lontaran idea bernas dan hujah sarat berfakta tidak akan kesampaian. Ruang perbincangan antara mahasiswa dan pihak atasan akan menemui titik noktah. Usaha memajukan universiti dan budaya ilmiah ini akan diperap bagai "jeruk".

Pihak HEP, kakitangan UKM, pengetua, felo-felo kolej, pengawal keselamatan, JAKSA kolej dan pihak Aspirasi perlu mengingati kes hitam mencoret arang ke "muka" UKM tersebar ke pengetahuan masyarakat akibat tindakan melulu tanpa pertimbangan rasional dan profesional oleh pihak pentadbiran kolej dengan mendenda RM1400 terhadap beberapa siswi akibat berusrah pada 14 Ogos lalu di sebuah kolej UKM.

Kami tidak mahu lagi wujudnya campur tangan dalam urusan mahasiswa. Fahamilah, ini adalah masa depan generasi kami! Janganlah didik generasi kami seperti "lembu dicucuk hidung", dipaksa, disuruh, dipujuk dan diugut supaya menjadi calon bertanding kerusi PMUKM. Izinkanlah mahasiswa bertanding secara adil dan berdikari.

Kita ingin harumkan nama UKM, maka persaingan sihat antara mahasiswa untuk mencorak sejauh mana keupayaan mereka dalam membawa UKM ke persada antarabangsa perlu diberikan ruang dan peluang seluasnya oleh pihak atasan. Persaingan ini adalah antara mahasiswa-mahasiswa dan bukannya antara mahasiswa-"tangan ghaib".

"Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan"
Bersama Memimpin Perubahan

diedit dari blog Gabungan Mahasiswa Kampus Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment

tvGMUKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

#Hashtag

#Hashtag

Moving Forward

Wajib Muat Turun !